no comments

DBKL Habiskan Duit Rakyat Sebanyak RM3JUTA! Hanya Untuk Cabut Iklan ‘Ah Long’

Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Mhd Amin Nordin Abd Aziz berkata, pihak DBKL sudah menghabiskan kira-kira RM3 juta tahun lalu untuk operasi pembersihan kawasan pentadbirannya dengan menanggalkan semua iklan haram dan poster yang mencacatkan pemandangan.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut akan membatalkan lesen perniagaan terhadap syarikat yang masih berdegil menggantung iklan secara haram pada tiang lampu atau lampu isyarat bermula awal tahun depan.

“Walaupun berkali-kali ditanggalkan namun masalah ini tidak pernah berkesudahan dan kami terus menanggung kos operasi yang tinggi.

“Bermula Januari tahun depan, tiada lagi kompromi sama ada syarikat itu besar atau tidak, tindakan tetap akan diambil. DBKL akan mengeluarkan surat tunjuk sebab dan membatalkan lesen dengan serta-merta jika syarat tidak dipatuhi,” katanya pada sidang media selepas melancarkan pasukan Rovers DBKL, hari ini.

Menurut Mhd Amin Nordin, kebanyakan iklan yang dipasang membabitkan iklan ceti haram dan komersial.

“Tindakan yang tidak bertanggungjawab ini hanya menimbulkan masalah kepada orang awam di mana sebahagian daripada poster ini dipasang pada papan tanda jalan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pasukan Rovers yang diwujudkan bertindak untuk membuat penyuraian trafik dan meningkatkan kesedaran terhadap orang ramai mematuhi undang-undang ditetapkan bagi melancarkan lalu-lintas.

“Setiap pasukan membabitkan dua anggota bermotosikal akan ditempatkan di empat kawasan iaitu Bukit Bintang, Masjid India, Chow Kit dan Brickfields bermula hari ini ketika waktu puncak.”

HMetro Online

Reply