no comments

Cukai SST: ‘Jualan 10%, Perkhidmatan 6%’ – Menteri Kewangan

Kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) akan dikenakan pada kadar 10% untuk jualan dan 6% untuk perkhidmatan, apabila rang undang-undang berkenaan cukai itu dijangka diluluskan di Parlimen bulan depan, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Dalam ucapannya pada Persidangan Cukai Kebangsaan 2018 di KLCC hari ini, beliau berkata SST dijangka memberikan hasil sebanyak RM4 bilion.

Kerajaan sebelum ini berkata SST akan menggantikan 6% cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan dikuatkuasakan pada 1 September 2018.

Negara dijangka kehilangan RM21 bilion hasil tahun ini selepas GST berkadar sifar bermula pada 1 Jun lalu.

Bagaimanapun, pengenalan semula SST, ditambah dengan kenaikan harga minyak mentah dan dividen tambahan daripada syarikat berkaitan kerajaan, ia dijangka memberi hasil tambahan sebanyak RM14.4 bilion pada tahun ini.

Untuk mengisi jurang yang ditinggalkan GST, Lim menambah, Kementerian Kewangan mengenal pasti langkah penjimatan berjumlah RM10 bilion, termasuk mengurangkan dan menghapuskan program bertindih dan tidak penting.

Projek mega yang terlalu mahal juga dibatalkan atau ditangguhkan, katanya.

Beliau juga berkata projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) perlu dikurangkan kerana isu 1MDB dan skandal kewangan lain.

Sementara itu, Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA), Datuk Abd Aziz Abu Bakar, berkata; harga barangan dijangka akan meningkat jika cukai jualan 10 peratus dilaksanakan.

“Kadar cukai jualan itu dilihat adalah sama seperti sebelum Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan.”

Bagaimanapun, beliau berkata berdasarkan kepada instrumen SST dalam kerajaan terdahulu, cukai jualan hanya dikenakan kepada pengilang dan pengimport, justeru dari segi ekonominya, ia akan memberi kesan kepada harga barang yang dikenakan cukai terbabit.

“Kadar yang dicadangkan itu adalah sama saja seperti dulu dan bukanlah kadar yang baharu. Seperti sistem SST sebelum ini, dijangka berlaku kenaikan harga terhadap barang tertentu yang tertakluk kepada rejim cukai ini.

“Apabila harga barang meningkat, ia tidak selari dengan matlamat dan manifesto kerajaan Pakatan Harapan yang ingin mengurangkan kos sara hidup dengan menghapuskan GST apabila mengambil alih tampuk pemerintahan dari Barisan Nasional (BN).

“Bagi cukai perkhidmatan enam peratus, ia dilihat tidak memberi kesan dan perlu diteliti dengan lebih lanjut kerana mungkin akan menimbulkan isu cukai berganda kepada pengguna, khususnya oleh pengendali restoran dan hotel,” katanya.

Mengulas lanjut, Abd Aziz berkata, bagi memastikan pelaksanaan cukai baru itu dapat dilaksanakan dengan mantap, kerajaan perlu mengenalpasti nilai ambang bagi cukai jualan dan cukai perkhidmatan.

Menurutnya, sebagaimana yang ditetapkan dalam nilai ambang GST, perniagaan dikenakan cukai sekiranya mencatatkan perolehan RM500,000 dan ke atas dalam tempoh setahun, manakala jika diambil kira SST sebelum ini, RM3 juta adalah nilai ambang bagi cukai jualan dan RM100,000 pula bagi cukai perkhidmatan.

“Sekiranya kerajaan dapat menetapkan satu kadar nilai ambang yang diselaraskan di bawah SST, sudah tentu ia dapat menjadi instrumen cukai yang adil dan menyeluruh,” katanya.

Reply