‘BSH’ Pengganti BR1M, Diberi Mulai 6 Jun Ini
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, mengumumkan pemberian Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada 4.1 juta penerima akan dibayar oleh kerajaan bermula 6 Jun ini.
“Mulai 6 Jun, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan pembayaran BSH 2018 peringkat kedua. BSH menggantikan nama lama iaitu BR1M (Bantuan Rakyat 1 Malaysia).
“Anggaran peruntukan adalah sebanyak RM1.6 bilion,” katanya pada sidang media Kementerian Kewangan yang diadakan sebentar tadi.
Pembayaran BSH akan dikreditkan terus ke akaun penerima masing-masing. Katanya, surat kelulusan akan diposkan terus ke alamat penerima bagi mereka yang tiada nombor akaun bank. Surat itu boleh ditunaikan di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional yang berhampiran.
Tambah beliau, pembayaran tersebut diharap dapat membantu rakyat dalam membeli barangan keperluan dan persiapan bagi menyambut Hari Raya Aidifitri nanti.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol 1800-88-2716 atau hantar emel kepada [email protected].
Alamat emel lama itu masih digunakan buat sementara waktu, tetapi akan ditukar pada masa akan datang.
Berdasarkan jadual pembayaran BR1M dikeluarkan kerajaan terdahulu, fasa kedua pembayaran dijadualkan pada 6 Jun ini membabitkan agihan RM400 untuk kategori isi rumah dan senarai e-Kasih dengan pendapatan bulanan RM3,000 ke bawah, termasuk warga emas.
Kategori isi rumah dengan pendapatan bulanan RM3,001 hingga RM4,000 pula bakal menerima bayaran RM300.
Fasa ketiga pembayaran BR1M kepada kedua-dua kategori terbabit, yang membabitkan agihan kadar sama adalah pada Ogos ini.
Perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, semalam berkata, kerajaan Pakatan Harapan telah memperkenalkan bantuan sara hidup rakyat bagi menggantikan BR1M.