no comments

Kenali Beg Bijan Najib, Yang Tak Semurah Biji Bijan

Beg tangan berjenama ‘Bijan‘ pula menarik perhatian rakyat Malaysia, selepas ia disebut beberapa kali oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh ketika sidang media hari ini.

Bijan ialah jenama beg tangan mewah dan bukannya biji bijan yang boleh dibeli secara timbang kilo.

Berdasarkan sebuah artikel Huffington Post, The House of Bijan terletak di Beverly Hill Rodeo Drive sejak 1976.

Premis ini dikatakan khas untuk golongan kaya sahaja kerana produknya merupakan antara yang termahal di dunia, di mana hanya pelanggan yang membuat temu janji sahaja boleh berurusan.

Jenama beg tangan ini adalah diambil daripada nama perekanya, Bijan Pakzad.

Beliau dilahirkan di Iran dan berhijrah ke Amerika Syarikat dan menjadi pereka untuk golongan atasan Hollywood dan Presiden Amerika Syarikat.

Untuk rekod, Bijan Pakzad adalah perunding imej kepada lima Presiden Amerika Syarikat lebih 40 tahun bermula daripada zaman Ronald Reagan, George Bush, George W Bush, Bill Clinton dan Barack Obama.

Beliau juga adalah pilihan bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair and Presiden Russia, Vladmir Putin selain menjadi pereka pilihan selebriti dan tokoh terkemuka dunia seperti Malcolm Forbes, Roger Moore, Pierre Trudeau, Raja Juan Carlos, Barry Manilow, Raja Hussein (Jordan) dan pemain gitar, George Benson serta pemain bola keranjang Micheal Jordan.

Pereka fesyen itu juga turut menjadi pilihan pereka fesyen lain seperti Oscar de la Renta, Tom Ford dan Giorgio Armani, selain artis berprofil tinggi seperti Tom Cruise and Anthony Hopkins.

Barangan dijual di premis itu berharga antara AS$1,200 (RM4,832) dan produk buatan tangan bernilai AS$25,000 (RM100,800).

Pagi tadi, Amar Singh pada sidang medianya mendedahkan 567 beg tangan membabitkan lebih 37 jenama seperti Prada, Bijan dan Chanel telah dirampas di salah sebuah hartanah milik bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib dan datin Seri Rosmah Mansor.

 

Daripada jumlah itu, sebanyak 272 beg berjenama Hermes dianggar bernilai RM51.3 juta dan proses penilaian harga beg berkenaan mengambil masa selama lapan hari.

Bijan merupakan beg tangan mahal dan ada beg tangan dianggarkan berjumlah RM1.6 juta dan ia merupakan beg tangan buatan tangan.

Bagaimanapun, baki sebanyak 295 beg tangan lagi membabitkan jenama seperti Prada, Chanel dan lain-lain masih belum dikenal pasti nilainya.

Reply