no comments

Anwar Bidas Kebiadapan MPT BERSATU Kritik Agong

Ketua Umum Pakatan Harapan (Harapan), Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas tindakan anggota Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk A Kadir Jasin yang mempertikaikan hak dan keistimewaan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Anwar berkata, tidak wajar untuk Kadir menggunakan hak dan kebebasannya untuk menyerang institusi Raja-Raja Melayu dengan fakta-fakta yang boleh dipertikaikan.

“Saya tidak menafikan hak seseorang menulis dan berbicara tetapi untuk menyerang dan menghina raja-raja dengan fakta dipertikai dan maksud untuk menimbulkan permasalahan dalam negara kurang wajar,” katanya dalam sidang media, di Hotel One World.

Walaupun hak untuk menyuarakan pandangan perlu dihormati, pengarang veteran itu perlu menunjukkan penghormatan dan ketertiban (decorum) dalam hal ini.

Beliau diminta mengulas artikel Abdul Kadir yang juga ketua media dan komunikasi Majlis Penasihat Kerajaan di blognya, yang mendakwa kerajaan memperuntukkan RM256.9 juta antara Januari hingga April tahun ini untuk YDPA.

Namun beliau menyertakan penjelasan bahawa artikel itu ditulis atas kapasiti peribadi dan tidak mempunyai kaitan dengan sebarang jawatan yang dipegangnya.

“Selama 16 bulan sehingga April tahun ini, sejumlah RM256.9 juta diperuntukkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk tujuan tempat tinggal, istana, barangan peribadi, pengangkutan dan kapal terbang, peralatan dan latihan pengiring, pakaian dan barangan upacara, hadiah dan cenderamata, lawatan luar negara dan gaji pekerja istana,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan sumber maklumat itu. Menurut Perbendaharaan, kerajaan hanya memperuntukkan RM13.5 juta setiap tahun kepada YDPA.

Anwar berkata, pihaknya tanpa mendapat arahan mana-mana pihak berusaha keras memberi keyakinan kepada institusi raja bahawa Harapan akan membela hak dan kedudukan Raja-Raja Melayu.

Katanya, kritikan itu juga dibuat tanpa memberi peluang kepada Institusi Raja-raja Melayu untuk memberi respons.

“Sekiranya buat kritikan sebegini tanpa memberi peluang kepada Raja-Raja Melayu untuk jelaskan jawapan, ia tidak sihat terutamanya menggunakan kedudukan yang ada.

“Kami sudah bekerja keras untuk dapatkan penghargaan daripada Raja-raja Melayu, untuk mengubah kerajaan yang sudah 60 tahun mentadbir, serta meluangkan banyak masa dengan Raja-raja Melayu.

“Saya akan bertemu dengan Sultan Kedah, Terengganu dan Perak. Saya lakukan semua ini dengan hubungan yang saya ada untuk membantu kerajaan dan perdana menteri supaya ada peralihan yang aman,” katanya.

Katanya lagi, memang sukar untuk meyakinkan Raja-raja Melayu terhadap pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, justeru semua pihak perlu berhati-hati dalam membuat kenyataan seumpama itu.

Reply