no comments

Adik Najib Muak Dengan Pemerintah Lama!

Pengerusi Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak berkata; tindakan pemimpin dahulu yang terlalu tegar dan mengutamakan kepentingan diri disifatkan sebagai punca usaha mencorak perubahan Malaysia ke arah yang lebih baik gagal.

Katanya, beliau telah berulang kali menganjurkan agar dilakukan pembetulan secara keseluruhan terhadap pemerintahan negara, namun tidak dipedulikan pemerintahan dahulu.

“Saya sudah muak mengingatkan mereka bahawa Malaysia perlu diperbetul, tetapi semua cubaan di bawah pemerintahan terdahulu gagal disebabkan ketegaran dan kepentingan diri.

“Kini anda boleh!” tulis Nazir yang merujuk kepada penubuhan kerajaan baharu di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

 

Nazir yang juga adik kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam postingnya itu turut mengucapkan tahniah kepada Dr Mahathir di atas pelantikan beliau sebagai perdana menteri ketujuh.

“Tahniah, YAB Tun Mahathir, PM Malaysia ke-7. Malaysia telah menunjukkan kepada dunia bahawa peralihan kuasa boleh berlaku secara aman selaras dengan kemahuan rakyat.

“Malaysia, ikon demokrasi baharu,” kata Nazir dalam posting di akaun Instagramnya pada Jumaat.

Menurutnya, walaupun dilihat bersengketa dengan Najib dan UMNO, Dr Mahathir tidak lupa melemparkan kata pujian terhadap mentornya yang juga ayah Nazir iaitu Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

Tambahnya, Dr Mahathir dan ayahnya mempunyai tekad yang sama dan sanggup berkorban demi membina negara.

Nazir dalam postingnya turut mendoakan kejayaan kerajaan semasa dalam mencorak “Malaysia baharu” sepertimana yang diunjurkan di dalam manifesto Pakatan Harapan.

Najib pada petang tadi telah meletakkan jawatannya sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkuat kuasa serta-merta.

Jawatan parti pembangkang itu kini dipengerusikan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama timbalannya Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Reply