no comments

Zahid Hamidi Ingatkan Pemimpin & Rakyat Johor Supaya ‘Berpijak Bumi Yang Nyata’

Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan kepimpinan negeri Johor dan rakyatnya supaya ‘berpijak di bumi yang nyata’ agar mempertahankan negeri maju itu agar tidak terlepas kepada pihak pembangkang.

Justeru, Timbalan Perdana Menteri berkata Johor memerlukan dokongan semua pihak untuk terus mencapai kemajuan seperti terbukti di bawah kepimpinan Menter Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

“Saya ingin ingatkan diri saya dan rakyat Johor, pemimpin-pemimpin Johor dan kerajaanJohor bahawa jangan bumi dipijak menjadi milik orang,” katanya demikian ketika berucap merasmikan penutupan Ekspo Johor Berkemajuan 2017 di Dataran Mahkota, Kota Iskandar, di sini pada Sabtu.

Katanya, semua pihak harus mengingati terdapat negeri-negeri yang sudah maju sebelum Johor dari segi pelaburan langsung asing, infrastruktur baik, sistem komunikasi canggih dan tahap ekonomi yang baik kini telah terlepas ke tangan pembangkang.

Malah, menurutnya, Johor perlu mengambil iktibar daripada negeri-negeri ini sebelum jatuh ke tangan pembangkang dan kemudian melupakan jasa dan sumbangan kerajaan pusat.

Ahmad Zahid berkata kemajuan fizikal diperlukan rakyat dianggap pembangkang sebagai tanggungjawab kerajaan tanpa rasa terima kasih atas kesungguhan kerajaan mensejahterakan rakyat.

“Biar pun kita melihat bintang di langit, jangan lupa rumput di bumi kerana apabila kita lupa rumput di bumi, bintang tidak menjanjikan sebarang harapan. Apabila awan semakin menebal, kita tidak akan melihat bintang lagi dan kita harus berpijak pada bumi yang nyata,” katanya.

Beliau turut menyifatkan Ekspo Johor Berkemajuan 2017 itu adalah usaha yang luar biasa dan tidak pernah diadakan sebelum ini.

Beliau berkata ini dibuktikan dengan 10 kluster yang digariskan melalui fokus yang menyasarkan bukan hanya kumpulan berbeza, malahan dilakukan mengikut kesalinghubungan.

“Apa yang kita perhatikan dalam perjalanan yang jauh ini, pasti sebarang kemajuan dimulakan dengan perjalanan langkah yang pertama dan kini Johor telah melangkah di tiga per empat perjalanan yang jauh ini,” katanya.

BERNAMA

Reply