no comments

Kantoi Lagi: ‘Rumah Selamat’ Najib Di Putrajaya Diserbu Polis

Sebuah lagi rumah milik Datuk Seri Najib Razak, di Precint 10, Putrajaya yang dipercayai ada kaitan dengan kes 1MDB telah diserbu pegawai polis.

Pegawai-pegawai dari Jabatan Jenayah Komersial Bukit Aman berpakaian biasa dilihat berada di rumah itu sejak pukul 1 petang.

Beberapa kotak telah dikeluarkan dari rumah tersebut dan kemudiannya dimasukkan ke dalam sebuah van putih. Bagaimanapun isi kandungan kotak tersebut belum dapat dipastikan.

Rumah banglo itu berada di Jalan P10C dan hanya terletak 200 meter dari Seri Perdana. Ia dipercayai milik Bahagian Pengurusan Harta Jabatan Perdana Menteri.

Sebuah portal berita menyifatkan ia sebagai ‘rumah selamat’ bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pasukan itu dilihat beredar dari rumah tersebut kira-kira pukul 3 petang. Namun lima pegawai polis dilihat masih berada di sana dipercayai mengawasi rumah terbabit.

 

Semasa serbuan, kediaman dua tingkat itu dipercayai tidak mempunyai penghuni.

Setakat ini, polis telah menggeledah 6 premis, iaitu Pejabat Perdana Menteri, kediaman rasmi perdana menteri di Seri Perdana, Putrajaya dan kediaman peribadi Najib di Taman Duta serta 3 unit kondominium mewah, di mana 2 daripadanya milik anaknya sejak malam 16 Mei lalu.

Sebanyak 284 kotak mengandungi beg tangan pelbagai jenama mewah dan 72 beg dirampas dalam operasi bulan lalu yang merupakan sebahagian daripada siasatan JSJK Bukit Aman dalam skandal 1MDB.

Pelbagai jenis mata wang berjumlah RM114 juta ditemui dalam 35 daripada 72 beg yang dirampas dari kondominium mewah, Pavilion Residences di ibu negara, manakala 27 beg lagi mengandungi barang kemas serta barang berharga lain.

Reply