no comments

Tun M Dedah Sebab Sebenar Zahid Hamidi Bertemu Dengannya

Pertemuan Pemangku Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Tun Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya semalam, nyata menarik perhatian ramai. Intipati pertemuan selama lebih 40 minit itu menjadi persoalan.

Ia merupakan pertemuan pertama antara pemimpin tertinggi UMNO itu bersama Perdana Menteri sejak kerajaan Barisan Nasional tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.

Bagaimanapun, Tun M hari ini mendedahkan bahawa Ahmad Zahid bertemunya adalah untuk menyatakan sokongan kepada kerajaan dan mendapatkan nasihat berhubung apa yang berlaku dalam Umno sehingga parti itu ditolak dalam PRU14.

“Dia nak tahu cara macam mana nak uruskan Umno. Jadi saya berterus terang bahawa Umno sudah mengkhianati orang Melayu. Saya ingatkan kepadanya, kita tubuh Umno untuk tolong orang Melayu tetapi kini Umno berubah dan mengutamakan kekayaan diri.

“Sebab itu Umno dibenci sekarang ini. Umno nak pulih susah. Dulu dipandang mulia sekarang dipandang jijik,” katanya dalam sesi wawancara khas.

Menerusi perkongsian itu, beliau memaklumkan bahawa pertemuan itu dibuat sempena bulan Ramadan.

Dr Mahathir ketika ditanya apakah nasihat yang diberikan kepada Ahmad Zahid berhubung pertemuan itu, beliau hanya berkata; “Saya kata dia fikir sajalah apa yang saya katakan”.

Ditanya apakah Ahmad Zahid berjumpa dengan beliau untuk menyertai Pakatan Harapan, Dr Mahathir hanya ketawa.

 

“Kita tidak pandang sesiapapun nak masuk Pakatan Harapan terutamanya Bersatu. Kalau orang itu orang politik, dia perlu putus hubungan dengan partinya, menjadi bebas dan ikrar sokong kerajaan,” katanya.

“Sudah tentu beliau berminat untuk menyokong kerajaan. (Bagaimanapun) beliau dialu-alukan untuk menyokong kerajaan, beliau juga dialu-alukan untuk membangkang kerajaan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Sebelum itu, Perdana Menteri mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keutuhan Pengurusan Kerajaan di Putrajaya.

Ditanya sama ada kehadiran Ahmad Zahid itu atas kapasiti Pemangku Presiden UMNO atau Ahli Parlimen Bagan Datuk, Dr Mahathir berkata, ia lebih kepada sebagai Pemangku Presiden.

Kelmarin, Ahmad Zahid memuat naik gambar beliau bertemu dengan Dr Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, melalui laman facebook dan Instagram miliknya.

Reply