no comments

Bekas Menteri Perdagangan ‘Tok Pa’ Keluar UMNO

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed mengumumkan keluar daripada UMNO selepas lebih 40 tahun berkhidmat untuk parti itu.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Mustapa sebentar tadi, beliau berkata hala tuju UMNO pada masa kini tidak selari dengan perjuangannya.

Tok Pa yang juga ahli Parlimen Jeli berkata, “pada pandangan saya, hala tuju yang diambil UMNO pada masa ini tidak lagi selari dengan prinsip politik yang menjadi pegangan saya selama ini.

“Tidak ada banyak usaha yang meyakinkan bahawa proses rejuvenasi parti telah bermula,” memetik kenyataan itu.

“Selepas bermuhasabah dan memikirkan sedalamnya, saya mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai ahli UMNO selepas lebih 40 tahun berkhidmat untuk parti ini,” katanya.

Dengan keputusan itu, Mustapa secara automatik menjadi Ahli Parlimen Bebas.

Beliau turut meletak jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan berpandangan usaha ke arah memulihkan defisit kepercayaan dan imej parti semakin sukar.

“Tidak ada tanda bahawa majoriti rakyat berbilang bangsa dan agama akan kembali meyakini perjuangan parti ini,” katanya.

Mustapa berkata UMNO selaku peneraju Barisan Nasional tidak boleh bergantung kepada sokongan orang-orang Melayu dan Bumiputera semata-mata untuk terus relevan.

Katanya, UMNO harus menjadi sebuah parti yang inklusif, sederhana dan berhaluan tengah.

“UMNO mesti terus memperjuangkan kepentingan Bumiputera dan Islam, namun tanpa sesekali mengetepikan kepentingan kaum dan agama lain.

“Saya percaya bahawa inilah jalan terbaik dalam kerangka negara Malaysia yang majmuk,” katanya.

Mustapa turut berpandangan sudah tiba masanya semua pihak tanpa mengira fahaman politik dapat mencari satu titik persamaan demi kepentingan rakyat.

Keputusan mengejut itu dibuat selepas beliau dipilih sebagai anggota majlis tertinggi Umno dengan menerima jumlah undi paling banyak semasa pemilihan parti itu Jun lalu.

Ini bermakna bilangan anggota parlimen Umno kini tinggal seramai 50 orang, jumlah yang sama dengan anggota Parlimen PKR. Dilaporkan beliau kini berada di luar negara.

Reply