no comments

Keputusan Rasmi: Sungai Kandis Kekal Milik PKR

Selepas keputusan tidak rasmi mencatatkan calonnya, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, memperoleh 15, 347 undi. setakat ini, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis dilihat kekal milik Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Dua lagi calon, Datuk Lokman Noor Adam yang mewakili BN memperoleh 9,583 undi, manakala calon Bebas, K Murthy meraih 64 undi.

Mohd Zawawi memperoleh majoriti undi sebanyak 5,764 setakat ini. Keputusan rasmi dijangka diumumkan pada jam 10 malam ini.

 

Menurut Suruhanjaya Pilihan raya, jumlah peratusan pengundi keluar mengundi hanya separuh, iaitu 49.8 peratus sahaja.

Proses pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis hari ini tamat selepas kesemua 19 pusat pengundian yang dibuka pada 8 pagi tadi ditutup serentak pada 5.30 petang.

Proses penjumlahan undi akan diadakan di Dewan Besar Tanjung, Majlis Bandaraya Shah Alam, Seksyen 19 Shah Alam dan keputusan dijangka diumumkan selewat-lewatnya 10 malam ini.

Sehingga 4 petang tadi, peratusan yang keluar mengundi pada PRK ini adalah sebanyak 45 peratus, manakala Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menyasarkan peratusan keluar mengundi sebanyak 80 peratus.

Sebanyak 51,217 atau 99.97 peratus pengundi biasa layak mengundi hari ini manakala 13 pengundi tidak hadir kerana berada di luar negara dan tiada pengundi awal bagi PRK DUN Sungai Kandis.

Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Kandis itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei daripada PKR, pada 2 Julai akibat kanser limfoma.

Pada PRU-14, Mat Shuhaimi memenangi kerusi DUN itu 23,998 undi, menewaskan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon PAS, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76).

Reply