no comments

Shafie Apdal Mahu Pesakit Positif Covid19 Turut Mengundi Dalam PRN Sabah

Ketua Menteri Sabah yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata setiap rakyat mempunyai hak mengundi walaupun dalam keadaan kesihatan kurang mengizinkan.

Sehubungan itu, beliau menyarankan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar menyediakan ruang dan prosedur operasi standard (SOP) bagi pesakit positif COVID-19 mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 September ini.

“Mereka (pesakit COVID-19) juga mempunyai hak untuk mengundi. Kalau ada yang terjangkit dan didapati positif, kita minta pihak SPR sediakan ruang serta SOP supaya mereka boleh menunaikan tanggungjawab.

“Tidak bererti kalau mereka positif COVID-19 tidak boleh mengundi. Mana ada dalam Perlembagaan orang tidak boleh mengundi, orang sakit pun boleh mengundi dan bertugas di luar negara pun boleh mengundi secara pos,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat, hari ini.

Mohd Shafie turut mencadangkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran dilaksanakan di kawasan dikuarantin supaya pengundian dapat berlangsung dalam lingkungan terhad dan dikawal.

“Di kawasan ada PKPD secara pentadbiran, mereka boleh berjalan di kawasan yang mempunyai had tertentu.

“Mereka perlu menunaikan tanggungjawab jika hanya kuarantin di rumah dan sebagainya, SPR boleh sediakan tempat,” katanya.

Sehingga ke hari ini, Malaysia terus mencatatkan peningkatan kes baru covid-19 daripada negeri di bawah bayu itu.

Reply