no comments

“Saya Nak Isytihar Dana PRU, Tapi Ditolak Pembangkang Ketika Itu” – Najib

Dalam wawancaranya bersama Malaysiakini semalam, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengakui pernah mencadangkan supaya proses pembiayaan dana pilihan raya dilakukan secara telus namun ditolak pembangkang ketika itu.

Najib turut mengimbau kembali bagaimana beliau mahu ketelusan dalam pembiayaan dana pilihan raya.

Ketika diajukan soalan mengapa beliau tidak membuat pengisytiharan mengenai hadiah yang diterimanya.

Najib berkata, beliau pernah mencadangkan supaya proses pembiayaan dana pilihan raya lebih telus tetapi ia ditolak oleh pembangkang ketika itu.

“Dalam negara ini kita tidak mempunyai sistem untuk lakukan perkara itu (isytihar hadiah).Saya sebenarnya pernah mencadangkan bahawa kita seharusnya ada… apabila ia mengenai sumbangan, kita perlu mempunyai sistem yang telus dan kita perlu rekodkan sumbangan itu dengan satu badan yang bebas.

“Saya ada mencadangkan perkara itu, tetapi pada masa itu, ia ditolak oleh pembangkang yang kini telah menjadi kerajaan,” luah Najib.

Menurut beliau, mereka menolaknya kerana pemberi sumbangan ingin identiti dirahsiakan.

“Saya syak kerana mereka tidak mahu dikenali kerana jika orang yang memberi sumbangan kepada mereka itu identitinya diketahui, maka ia akan memberi kekurangan kepada mereka.

“Tetapi ia ada dalam rekod bahawa saya sebenarnya mencadangkannya dan saya masih ingat saya bercakap mengenai perkara itu kepada ketua pegawai eksekutif Pemandu (Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan), Datuk Seri Idris Jala.

“Saya juga bercakap dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim ketika itu dan dia menyukai idea tersebut. Kami bawanya ke depan, tetapi ia ditolak oleh pihak pembangkang sehingga perkara itu tidak diteruskan.

“Sekiranya perkara itu berlaku, pembiayaan dana pilihan raya di negara ini akan dikendalikan dengan cara yang lebih telus. Tetapi jika saya lakukannya untuk BN sahaja, tetapi mereka tidak, maka ia akan merugikan kita.

Dalam wawancara itu, Najib juga mendakwa salah seorang ‘orang’ Tun Dr Mahathir pernah mengambil wang tunai RM10 juta daripadanya untuk kegunaan PRU13.

Beliau menggambarkan, ‘orang’ itu sebagai seorang ‘pembantu’ yang sangat dipercayai Tun M, Najib berkata, duit berkenaan diambil di kediamannya di Jalan Langgak Duta.

Walaupun Najib mendedahkan nama individu berkenaan yang merupakan bekas perenang negara.

“Niatnya cukup jelas. Mereka tahu apabila anda bertanding pilihan raya, anda perlu ada tunai. Pembangkang juga tahu mengenai perkara itu. Mereka juga ada tunai.

“Saya tahu perkara ini bukan sesuatu yang diketahui umum oleh orang awam tetapi ia bukan perkara yang pelik.

“Ia telah pun berlaku pada masa lalu dan jika kita mengubah undang-undang dan peraturan mengenai pembiayaan dana pilihan raya, ia tetap akan berlaku,” dedahnya lagi.

Reply