no comments

“Ini buktinya Najib Yang Kawal Saya, Bukan Saya Control Najib” – Rosmah

Tanpa berselindung lagi, Datin Seri Rosmah Mansor akui beliau dikawal Datuk Seri Najib Razak, dan bukan dia yang mengawal suaminya sebagaimana didakwa pengkritik.

Isteri pemimpin nombor 1 negara itu berkata, walaupun beliau tidak sihat kerana menghadiri pelbagai program dan mengiringi Najib keluar negara atas urusan rasmi, beliau tetap diminta menggantikan suaminya.

“Saya tidak seharusnya ada di sini. Saya dimaklumkan jemputan program ini adalah untuk perdana menteri, yang secara kebetulan suami saya. Tetapi, beliau terpaksa menghadiri satu mesyuarat penting.

“Jadi, beliau (Najib) memerintahkan saya untuk hadir ke program ini. Jadi, sesiapa kata saya kawal Datuk adalah tidak betul, datuk yang kawal saya. Walaupun saya maklumkan kepada beliau yang saya tidak berapa sihat.

“Dia (Najib) kata kepada saya, tidak kira awak batuk atau demam, awak pergi saja dan saya, kini (berucap) di depan hadirin,” katanya sewaktu berucap pada Majlis Sepetang Bersama lebih 50 Pengusaha Produk Kesihatan dan Kecantikan Buatan Tempatan di Hotel Seri Pacific, semalam.

Rosmah berkata, bukan mudah menjadi wanita pertama Malaysia, apatah lagi isteri kepada perdana menteri memandangkan masyarakat tidak memahami pelbagai cabaran dihadapinya.

“Ingat senang hendak jadi isteri kepada seorang pemimpin. Apapun kena alami pelbagai dugaan.

“Kalau tadi saya terlambat, saya mohon maaf. Saya kena makan ubat untuk meredakan batuk. Saya sudah lama tidak kena batuk dan demam.”

Sementara itu, beliau menzahirkan rasa tidak faham kenapa ramai lelaki hari ini menggunakan produk kosmetik dan kecantikan.

“Sekarang ini di pasaran, lelaki pun nak jaga kulit seperti wanita. Di pasaran macam-macam jenis kosmetik untuk lelaki yang diiklankan.

“Bukan sahaja perempuan nak cantik, lelaki pun nak ‘handsome’. Tetapi, saya tidak faham kenapa lelaki nak ‘handsome’. Kita suka orang macho, kita bukan suka yang kulit lembut.”

“Saya faham perempuan nak cantik dan lelaki pun nak handsome. Tapi saya tak faham kenapa (ramai) lelaki nak handsome. Kita suka orang macho, bukan kulit lembut,” katanya.

FMT, Malaysiakini

Reply