no comments

“Rakyat Perlu Biasakan Diri Dengan Naik Turun Harga Minyak Setiap Minggu” – Najib

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri,Koperasi dan Penggunaan (KPDNKK) petang tadi, baru saja mengumumkan kenaikkan kesemua harga bahan api bermula esok (khamis) hingga rabu depan (10 Januari 2018).

Susulan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, situasi sama turut berlaku di negara maju yang mana harga minyak berubah setiap hari.

Datuk Seri Najib Razak berkata, rakyat perlu membiasakan diri dengan turun naik harga minyak setiap minggu, susulan pelaksanaan sistem apungan terkawal.

“Kita sudah beritahu, kita tidak mampu nak memberi subsidi pukal, sebab itu buat subsidi secara lebih fokus.

“Cuma kalau harga minyak RON95 naik sehingga RM2.50 (secara berterusan selama tiga bulan), kerajaan akan membuat sesuatu untuk membantu rakyat. Itu kita sudah bagi jaminan,” katanya dalam program ‘Bicara 4 Mata‘ bersama Datuk Aznil Nawawi yang disiarkan portal theRakyat, RTM dan TV3, malam ini.

Mekanisme pengumuman harga minyak secara mingguan mula berkuat kuasa 29 Mac tahun lalu.

Harga petrol dan diesel diletakkan di bawah sistem apungan terkawal secara bulanan sejak 1 Disember 2014, berikutan penghapusan subsidi minyak.

Dalam pada masa yang sama, Najib memberitahu hasil kutipan cukai barang dan perkhidmatan (GST) menyelamatkan negara daripada terjerumus dalam kemelesetan ekonomi kesan kejatuhan harga minyak.

Katanya, GST adalah sistem percukaian yang sangat progresif dan berupaya menampung perbelanjaan negara, malah 165 negara turut melaksanakan sistem percukaian berkenaan.

“Apabila harga minyak jatuh, merudum daripada AS$110 kepada AS$30 setong, sepatutnya Malaysia sebagai sebuah ekonomi, kita terjerumus kepada ‘recession’ (kemelesetan) tetapi kita tidak ada melalui ‘recession’.

“Bila ada ‘recession’, ekonomi menguncup. Bila ekonomi menguncup orang kena buang kerja, peluang perniagaan terbatas, orang susah dan sebagainya tetapi keadaan hidup berjalan macam biasa tidak ada apa-apa kesan.

“Minyak turun merudum pun kita masih lagi tidak buang penjawat awam, perbelanjaan kerajaan berjalan seperti biasa walaupun ada sikit pengurangan, tetapi umumnya orang tidak dapat kesan dengan kejatuhan harga minyak dan komoditi kepada negara kita.”

Ditanya ke mana perginya hasil kutipan GST, Perdana Menteri berkata, kerajaan mengamalkan perbelanjaan telus.

BHarian

Reply