no comments

Rafizi Ingatkan Azmin, Jangan Letak Jawatan Kalau Kalah

Rafizi Ramli mengingatkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali supaya tidak perlu meletakkan jawatannya dalam kerajaan sekiranya kalah dalam perebutan ‘Timbalan Presiden PKR‘ pada pemilihan parti itu bulan depan.

Rafizi berkata, pelantikan Mohamed Azmin sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi adalah jawatan dalam kerajaan yang tidak ada kena mengena dengan parti.

Katanya, pelantikan seseorang sebagai menteri adalah melalui dua saluran iaitu dicadangkan parti hasil rundingan dalaman dan pilihan Tun Dr Mahathir Mohamad atas budi bicaranya sebagai Perdana Menteri.

“Saya tidak nampak apa saja keputusan dalam pemilihan PKR nanti akan menyebabkan Mohamed Azmin perlu mengundurkan diri dari jawatan Kabinet. Saya juga tidak nampak kenapa PKR kena berkeras menyuruh beliau meletakkan jawatan dan saya tidak rasa Perdana Menteri mengambil ketetapan meminta beliau meletak jawatan. Ini tidak akan berlaku.

“Dr Mahathir yang melantik Mohamed Azmin atas budi bicaranya sedangkan namanya tiada dalam senarai parti, mana mungkin beliau akan diminta meletakkan jawatan,” katanya.

Beliau ditanya sama ada Mohamed Azmin perlu meletakkan jawatan sekiranya kalah pada pemilihan parti itu.

Pada pemilihan PKR kali ini Rafizi mencabar Mohamed Azmin yang mempertahankan kerusi Timbalan Presiden. Pencalonan Rafizi itu satu tamparan kepada Mohamed Azmin yang kini dilabelkan sebagai orang Dr Mahathir .

Rafizi berkata, perlu adanya pemisahan antara parti dan kerajaan, budaya itu perlu dihapuskan supaya kerajaan tidak mengulangi kesilapan yang dilakukan kerajaan yang terdahulu.

Pada pandangannya, kerajaan serta hal parti perlu diasingkan dan ini perlu diterima dalam kerajaan Malaysia baharu ini.

“Jika tidak dipisahkan nanti timbul budaya seperti UMNO yang melantik ‘macai’ mereka dalam kerajaan selepas menang pertandingan dalam parti sedangkan orang itu tidak layak memegang jawatan, nanti rakyat akan menilai kita sebagai tidak bertanggungjawab dan menyalahgunakan kuasa,” katanya.

Ditanya mengenai peluang beliau untuk menang berikutan Mohamed Azmin dilabelkan orang Dr Mahathir dan berada dalam kerajaan Rafizi berkata, persepsi itu timbul kerana pelantikan Mohamed Azmin sebagai menteri bukannya dicadangkan kepimpinan parti.

Katanya, parti mahukan Mohamed Azmin menumpukan kepada Kerajaan Selangor tetapi beliau dipilih atas budi bicara Perdana Menteri dilantik sebagai menteri.

“Justeru, wujud persepsi yang mengaitkan beliau dengan Dr Mahathir dan perkara ini tidak boleh dielakkan untuk diperkatakan ahli akar umbi.

“Adakah itu kebaikan atau bebanan kepada Mohamed Azmin? Isu ini wujud kerana persepsi saja dan ia menjadi salah satu perkara yang dinilai anggota parti dalam pemilihan kali ini. Ini semua soal persepsi. Biarlah mereka yang membuat keputusan,” katanya.

Dalam wawancara bersama Berita Harian hari ini, Rafizi turut menyentuh sikap kerajaan sekarang yang lebih kerap mengkritik dan membongkar kesalahan kerajaan BN dulu berbanding usaha melaksanakan manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN).

 

Katanya, beliau faham menteri dan anggota parlimen HARAPAN di Dewan Rakyat “menyampah” dengan BN yang seperti tiada kena-mengena dengan masalah tinggalan kerajaan dulu yang perlu dihadapi pentadbiran kini.

“Sebab itu timbul kritikan, sindiran, serangan serta macam-macam pembongkaran. Kalau pun hendak menegur, biarlah 20 peratus saja manakala 80 peratus ditumpukan kepada rancangan kita dan apa yang mahu kerajaan laksanakan,” katanya.

Beliau berkata antara perkara yang perlu diberi tumpuan oleh kerajaan adalah isu harga barang, harga minyak dan kedudukan ekonomi negara.

Bekas ahli parlimen Pandan itu sejak akhir-akhir ini dilihat mengambil sikap berbeza apabila menyuarakan teguran dan kritikan terhadap kerajaan, antaranya dalam isu kemungkinan kenaikan tarif elektrik dan cadangan kereta nasional ketiga.

Reply