no comments

PRU14: ‘Tak Sangka Bala Besar Nak Timpa BN’ – Najib

Datuk Seri Najib Razak tidak menyangka parti pimpinannya yang menjadi kerajaan pemerintah sejak negara ini mencapai kemerdekaan akan tersungkur rebah.

Bekas perdana menteri dan presiden Umno itu hanya percaya dan menjangkakan ada beberapa kerusi akan menyaksikan calon BN akan kecewa, tetapi tidak untuk tumbang sebagai kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU).

“Saya ada menjangkakan sedikit. Saya tak menyangka ia begini teruk.

“Saya fikir kami mungkin kalah di beberapa kerusi namun saya tidak menjangkakan keputusan sebegini dramatik dan malang.

“Ia adalah trauma seperti yang anda boleh bayangkan, untuk sebuah parti yang bertahan dalam kuasa selama lebih 60 tahun.

“Sejarah Malaysia pada asasnya ialah sejarah Umno dan BN,” katanya sewaktu diwawancara.

Pada PRU ke-14 lalu BN hanya memenangi 79 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat. Lima tahun lalu gabungan terbabit memenangi 133 kerusi dan kekal memerintah Malaysia.

Lebih memburukkan keadaan BN, sembilan daripada 13 parti komponen mereka meninggalkan gabungan berkenaan untuk membentuk pakatan sendiri di Sarawak.

Keadaan itu meletakkan BN kini hanya menguasai 57 kerusi di parlimen.

Dalam temu bual itu Najib menyalahkan tuduhan dilempar pembangkang sebagai punca BN kecundang.

“Mereka (pembangkang) tampil dengan tuduhan yang berat untuk memfitnah saya dan kerajaan.

“Malangnya selepas satu tempoh, ia mengubah pandangan orang ramai,” katannya.

Najib juga berkata Tun Dr Mahathir Mohamad, tokoh yang satu ketika dulu bersungguh-sungguh melobi untuk menaikkannya menjadi perdana menteri, pintar dalam strategi semasa mengepalai Pakatan Harapan bagi berdepan dengan BN.

“Dia tahu BN, dia tahu mengenai perkhidmatan awam. Dia tahu segala-galanya mengenai sistem yang ada, jadi dia beroperasi dari dalam dan luar. Justeru dia mempunyai kelebihan tersendiri.

“Dia agak pintar dari satu segi, merangkumkan segala-galanya dalam terma yang sangat mudah dan mengulang-ulanginya berkali-kali.

“Satu lagi isu yang saya sedih ialah kami tidak kalah kepada satu agenda yang besar,” katanya.

Najib berkata sedemikian ketika ditemu bual bersama agensi berita Reuters di Langkawi, Kedah.

Reply