no comments

“BN Tak Boleh Terima Kekalahan Kali Ke-3 Di Selangor” – Najib

Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak berkata, parti Melayu itu perlu menjadikan Selangor sebagai negeri UMNO dan Barisan Nasional agar rakyat dapat menikmati pembangunan yang lebih pesat.

Usaha untuk merampas kembali Selangor daripada pemerintahan Pakatan Harapan (PH) mesti dimulakan dengan memenangi kerusi Parlimen Shah Alam pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

“Kali ini kita bangkit semula dengan kekuatan yang baharu, rebut Shah Alam dan Selangor, tapi kita mesti ada mentaliti kemenangan, kita ada banyak kelebihan untuk memenangi hati dan fikiran pengundi-pengundi di Selangor.

“Kalau kita nak bangunkan Selangor, termasuk Shah Alam, perlu ada kerajaan dari parti yang sama di peringkat pusat dan Selangor, di Putrajaya dan Shah Alam, insya-Allah Selangor akan lebih pesat membangun pada masa-masa akan datang,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Shah Alam, di sini, hari ini.

Beliau berkata, UMNO dan BN tidak boleh menerima kekalahan kali tiga di Selangor pada pilhan raya umum kerana pihaknya telah kehilangan banyak kerusi dalam pilihan raya lalu pada 2008 dan 2013.

“Tan Sri Noh Omar sebut, kita tak boleh terima kalau kita cerai talak tiga. Kali pertama kita kalah tinggal 20 kerusi, kali kedua 12 kerusi, jangan sampai tiga kali.

“Kita pun sudah merasai kepahitan jadi pembangkang, Hari ini kita sudah insaf, dengan penuh rasa rendah diri kepada pengundi-pengundi, kita nak menawarkan sebuah kerajaan lebih baik untuk rakyat Selangor,” jelasnya.

Katanya lagi, beliau akan meminta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO dan BN Selangor, Tan Sri Noh Omar untuk menyediakan manifesto pilihan raya yang boleh dipercayai dan mampu dilaksanakan.

“Mudah-mudahan kita boleh menang dan kemenangan itu mesti bermula di Shah Alam,” katanya lagi.

MalaysiaGazette

Reply