‘PH Perlu Hati-Hati Dengan Anwar & Azmin’ – Pesan Zahid Pada Khairuddin
Bekas timbalan perdana menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, didakwa menasihati Pakatan Harapan (PH) supaya berhati-hati dengan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri menanti; dedah pengikut setia Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan hari ini.
“Ketika bertemu dengan saya, Zahid Hamidi turut menzahirkan pandangan agar tidak terlalu percaya pada percaturan politik Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Azmin Ali.”
“Namun saya tetap berpendirian jangan sesiapa cuba mengadu domba seterusnya pecah-belahkan pemimpin dalam PH. Dalam apa jua situasi, kami akan pertahankan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri menanti yang bakal menjadi perdana menteri ke-8,” katanya.
Khairuddin berkata Zahid merayu beliau supaya mengatur pertemuan dengan Dr Mahathir pada 9 Jun lepas, kira-kira sebulan selepas pilihan raya umum 9 Mei yang menyaksikan kekalahan mengejut Barisan Nasional (BN).
Pada Rabu lepas, Zahid memberitahu ahli Umno Selangor bahawa beliau dijemput berjumpa Dr Mahathir, dan berkata pemimpin veteran itu meminta supaya Ahli Parlimen Umno menyertai PPBM.
“Saya katakan dengan jelas tidak ada jalan bagi kita menyertai PPBM,” kata Zahid.
Berikutan itu, Khairuddin mengeluarkan kenyataan biasa beliau yang bernada keras menuduh Zahid berbohong, dan mengongsi gambarnya dengan Zahid pada hari sama pertemuan dengan Dr Mahathir berlangsung.
Semalam, Zahid menafikan beliau “merangkak” untuk menemui Dr Mahathir dan menambah bahawa Khairuddin “menghubungi beliau dan mengatur pertemuan itu.”
Calon presiden Umno itu turut menaikkan grafik dengan perkataan “Wabillahi Watallahi” di laman Facebooknya memandakan beliau bersumpah akan kebenaran kata-katanya.
Khairuddin hari ini berkata Zahid harus menyertainya mengulangi sumpah itu secara rasmi.
“Tolong beritahu penyangak Zahid Hamidi saya bersedia menjunjung kitab suci al-Quran bersumpah laknat di mana-mana masjid sekalipun.
Manakala itu, Khairuddin berkata Zahid mengakui kepadanya telah bersolat sunat Istiharah sebelum mendapat hidayah bertemu Mahathir.
“Dia sanggup menipu dan berbohong semata-mata untuk memenangi jawatan presiden Umno yang sudah tidak relevan itu.
“Pada hakikatnya, Zahid Hamidi yang memohon untuk berjumpa dengan Tun Dr mahathir Mohamad.
“(Zahid Hamidi) kata dia sudah pun menunaikan solat istiqarah selama tiga hari berturut-turut serta dapat hidayah untuk berjumpa dengan perdana menteri malaysia. Atas dasar ini saya pun bertindak ke arah menemukan zahid hamidi dengan perdana menteri,” katanya.
Semalam, Zahid menafikan tidak pernah meminta nasihat daripada Dr Mahathir Mohamad untuk menguruskan Umno dalam pertemuannya itu.