no comments

Ingin Terus Jadi Pembangkang, UMNO Pilih Zahid Sebagai Presiden Baru

Biarpun tidak diumumkan secara rasminya lagi, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah sah diangkat sebagai Presiden UMNO baru.

Setakat jam 9.23 malam ini anggota parlimen Bagan Datuk itu memperoleh 93 undi sekali gus tidak memungkinkan mana-mana calon mengejarnya lagi.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sebelum ini dilihat bakal menjadi perdana menteri, sehinggalah BN kecundang di tangan Pakatan Harapan (HARAPAN), dipilih majoriti anggota parti untuk menjadi presiden mereka.

Dua lagi calon utama yang bersaing untuk mengisi tempat ditinggalkan oleh Datuk Seri Najib Razak ialah anggota parlimen Rembau yang juga bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, serta veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah.

Khairy mendapat 51 undi manakala Tengku Razaleigh cuma 23 undi.

Untuk rekod ini adalah percubaan kedua Tengku Razaleigh untuk menjadi presiden selepas 1987. Kira-kira 31 tahun lalu cubaan beliau digagalkan oleh kelebihan 43 undi yang memihak kepada perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dua lagi pencabar kerusi berkenaan yang dilabel calon ikan bilis iaitu ahli UMNO Bahagian Bandar Tun Razak Mohamed Iqbal Maricair dan ahli UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Mohd Yusof Musa@Jamaluddin, masing-masing belum memperoleh sebarang undi.

Sementara itu bagi perebutan jawatan timbalan presiden, bekas menteri besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan semakin hampir menjadi pemenang apabila setakat 9.25 malam, beliau sudah mempunyai 70 undi.

Mohamad hanya memerlukan 26 undi lagi untuk menjadi pemenang. Pencabar tunggalnya, Tan Sri Annuar Musa ketinggalan dengan setakat ini hanya meraih 50 undi.

Pada 12 Mei lalu, Datuk Seri Najib Tun Razak telah melepaskan jawatannya sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) serta-merta berikutan kekalahan teruk parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Reply