no comments

PAS Bakal Memerintah Kedah Jika PRN Diadakan

Menurut Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Parti Islam SeMalaysia (PAS) yakin boleh menawan semula Kedah jika Pilihan Raya Negeri (PRN) benar-benar diadakan.

Tuan Ibrahim berkata bagaimanapun parti itu berharap agar jalan penyelesaian lain dapat dicapai sekiranya kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan (PH) gagal mendapat sokongan untuk melantik Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN).

“PAS menawarkan jalan keluar iaitu mewujudkan Kerajaan Perpaduan yang bertujuan untuk mengelak PRN daripada berlaku.

“Ini adalah jalan keluar yang terbaik jika menghadapi situasi sebegini. Tapi mereka (Pakatan Harapan) menolak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan Kali Ke-45 Tahun 2018 di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik).

Beliau berkata konsep Kerajaan Perpaduan ini telah banyak diamalkan di negara-negara lain yang turut mengamalkan demokrasi.

Katanya langkah itu boleh diambil bagi mengelakkan pembaziran wang jika PRN diadakan terutama selepas berlakunya pilihan raya umum ke-14 (PRU14) bulan lepas.

Selepas sebulan PRU14 berlangsung, Kerajaan Kedah pimpinan PH masih belum mengumumkan Speaker DUN kerana hanya berjaya membentuk kerajaan minoriti di negeri tersebut.

Ia selepas PH mendapat 18 kerusi DUN manakala PAS menguasai 15 kerusi dan Barisan Nasional (BN), tiga kerusi.

Keadaan itu mewujudkan keadaan yang seimbang antara kerajaan dan pembangkang kerana DUN Kedah mempunyai kerusi yang genap.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim turut mengulas mengenai penularan kritikan terbuka terhadap Raja-raja Melayu.

Kata ia mesti dibendung dari peringkat awal bagi mengelak tercetusnya polemik dalam masyarakat.

“Saya tengok asas kepada Malaysia Baharu ini adalah kebebasan media. Kita akui perlunya ada kebebasan media tapi bukan bebas mutlak, (tapi) bebas yang mesti dikawal. Kalau bebas mutlak ia akan merosakkan negara.

“Jadi ada institusi yang kita boleh tegur secara terbuka dan ada yang perlu melalui saluran tertentu. Semua pihak perlu menghormati saluran-saluran yang ada,” katanya.

Reply