1 comments

“Orang Melayu Kini Terbangsat Di Negara Sendiri” – Najib

Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan, orang Melayu kini telah terbangsat di negara sendiri, sejak UMNO kehilangan kuasa sebagai pemerintah kerajaan Malaysia.

Beliau yang juga bekas Presiden UMNO, berkata selepas menyelesaikan pemilihan, semua ahli UMNO kini perlu meletakkan kepentingan parti sebagai keutamaan mereka, dalam usaha membina semula kekuatan.

Najib juga menggesa semua pihak dalam parti itu, belajar dari kesilapan lalu, sambil memperkuatkan perpaduan dan kasih sayang sesama ahli.

“Kita hendaklah berhenti berbalah. Elakkan membuat tohmahan yang boleh menjejaskan perpaduan UMNO jika ingin memulihkan kekuatan parti dan mengangkat perjuangan agama, bangsa dan negara.

“Orang Melayu tidak boleh berharap kepada kerajaan Pakatan Harapan untuk mempertahankan dan memperjuangkan nasib mereka. Ini kerana kekuatan parti Melayu mereka (PH) datang dari sokongan orang bukan Melayu,” katanya dalam catatan terbaru menerusi Facebook, malam tadi.

 

Najib mendakwa, setakat ini, kerajaan Pakatan Harapan mengizinkan pencabulan terhadap bahasa Melayu, agenda Islam dan Bumiputera juga tidak akan mendapat tempat utama dalam pentadbiran mereka.

Saya pernah sebut Melayu akan terbangsat di negara sendiri jika UMNO hilang kuasa. Kita (UMNO) sudah terlepas kuasa dan mesti tabah hadapi ujian Allah SWT ini.

“Insya-Allah, dengan adanya perpaduan yang lebih kukuh dan kasih kepada parti, UMNO boleh mengembalikan semula keyakinan rakyat terutamanya orang Melayu,” katanya.

Pada 12 Mei lalu, Najib telah meletak jawatan selaku Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) serta-merta sebaik kekalahan teruk parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

UMNO kini telah dipimpin oleh Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang telah menang dalam pemilihan semalam, menewaskan pencabarnya Khairy Jamaluddin (KJ) dan Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li).

Zahid akan berkhidmat sebagai presiden baharu UMNO bagi tempoh 2018 hingga 2021.

One Response

Reply