no comments

Waktu Berduka Dah Berlalu, Najib Turut Serta ‘Tawar Diri’…

Bekas presiden Umno Datuk Seri Najib Razak tetap akan mempertahankan jawatannya di peringkat bahagian walaupun telah berundur di peringkat tertinggi.

“Bagi diri saya pula, saya akan terus memimpin Umno Pekan dan menawarkan diri untuk mempertahankan jawatan sebagai ketua bahagian Umno Pekan,” katanya.

Najib sudah memegang jawatan Ketua UMNO Bahagian Pekan sejak 1982.

Najib berundur dari jawatan nombor satu dalam Umno selepas BN kalah kalah teruk sehingga hilang pentadbiran pusat dan hampir seluruh negeri di tangan Pakatan Harapan.

Sementara itu, dalam tulisan di Facebook, Najib juga mengingatkan anggota parti itu supaya meneruskan perjuangan “parti keramat” itu.

“Sebagai presiden Umno dan pengerusi BN (sebelum ini) saya bertanggungjawab atas kekalahan kita dalam PRU 14.

“Kita kena bangkit dan masa untuk bersedih telah berlalu. Kita mesti ambil iktibar, kuatkan iltizam dan perbaiki kelemahan serta kuatkan Umno, agar kita dapat kembalikan keyakinan rakyat kepada Umno,” katanya.

“Oleh itu, ahli UMNO hendaklah kuatkan semangat, perkukuhkan ketahanan diri untuk terus menyuburkan dan memulihkan UMNO. Ini kerana UMNO banyak berjasa dan sinonim dengan pelbagai kejayaan negara kita.

“Insya-Allah, kita akan tabah menghadapi dugaan yang amat hebat daripada Allah SWT, semoga Allah SWT merahmati perjuangan kita,” katanya.

Najib turut berkongsi rutin kehidupannya dengan kini banyak meluangkan masa untuk beramal ibadat sepanjang Ramadan ini.

Katanya, beliau juga menerima kunjungan pemimpin dan ahli UMNO dari seluruh negara, penyokong dan sahabat, yang memberi sokongan dan meminta pandangan mengenai kedudukan semasa.

“Boleh dikatakan tak putus-putus mereka yang datang ke rumah, terima kasih. Selain itu, saya juga dalam proses untuk membuka satu pejabat untuk menjalankan urusan peribadi serta memudahkan mereka yang ingin bertemu saya,” katanya.

Beliau juga memberi jaminan akan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dalam siasatan terhadapnya yang disifatkan sebagai dendam politik.

Reply