no comments

Najib Tarik Balik Saman AG, KP SPRM & Amar Singh

Saman pemula yang difailkan terhadap tiga penyiasat kanan dalam kes 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) ditarik balik oleh Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Ketiga-tiga individu terbabit adalah Peguam Negara Tommy Thomas; Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull; dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh.

Peguam, Badrul Hisham Abdullah yang mewakili Najib ketika dihubungi mengesahkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penarikan balik saman itu.

Sementara itu, Badrul berkata saman itu ditarik balik kerana ia difailkan sebelum pertuduhan terhadap Najib dikemukakan.

Beliau berkata pihaknya akan membuat pelarasan terhadap kes itu sebelum mengemukakan tindakan saman lain selepas Najib didakwa dengan empat tuduhan terbabit.

“Selepas pertuduhan dikemukakan, senario sudah berubah maka kami akan membuat pelarasan kes itu,”katanya.

Najib memfailkan saman pemula itu secara berasingan terhadap ketiga-tiga individu terbabit pada 30 Jun lalu bagi memohon perisytiharan dan perintah bahawa ketiga-tiga responden adalah pihak berkepentingan dalam penyiasatan 1MDB dan bertindak secara prejudis terhadapnya (Najib) serta pembabitan mereka adalah tidak sah.

Dalam afidavit sokongannya, Najib berkata Thomas dengan jelas menulis artikel yang merumuskan bahawa wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dimasukkan ke dalam akaun peribadinya, sebelum dilantik mengetuai Pejabat Peguam Negara lagi.

Sementara itu, Najib berkata, Mohd Shukri yang baru dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM sudah merumuskan bahawa beliau antaranya menerima wang RM42 juta dan RM2.6 bilion pada satu sidang media berhubung SRC International Sdn Bhd.

Manakala, Amar Singh pula katanya tidak mematuhi Prosedur Standard Operasi (SOP) ketika mengetuai serbuan ke atas premisnya dan permis didiami anak-anaknya di Pavilion Residence serta yang dipinjam daripada seorang rakan untuk menempatkan barangan yang dipindahkan dari kediaman rasmi di Seri Perdana.

Najib, hari ini tiba di parlimen bagi menghadiri persidangan pertama penggal baru Dewan Rakyat.

Berpakaian serba hitam, anggota parlimen Pekan itu melambaikan tangan dan mengucapkan “selamat pagi” kepada petugas media dan kakitangan parlimen sambil melangkah masuk ke dalam dewan.

Persidangan Penggal Pertama Parlimen ke-14 akan memulakan mesyuarat pertamanya pukul 10 pagi dengan urusan pertama yang akan diselesaikan iaitu pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Najib kemudian memberitahu wartawan bahawa beliau menerima tugas sebagai pembangkang sedia menjadi pembangkang yang berkesan.

“Saya sudah terima (jawatan sebagai pembangkang).

“Saya utamakan berkhidmat kepada rakyat dan saya mahu jadi pembangkang yang berkesan dan memainkan peranan memastikan pelaksanaan lancara demokrasi negara kita,” katanya selepas istiadat mengangkat sumpah.

Pembukaan dewan hari ini agak kecoh apabila majoriti Ahli Parlimen Pembangkang (BN&PAS) bertindak keluar Dewan atas dasar protes terhadap prosedur pelantikan Yang di-Pertua Dewan Rakyat (Speaker).

Pelantikan Speaker itu dipertikaikan kerana tidak mengikut peraturan dewan mesyuarat yang seharusnya mengikut peruntukan 4 (1) berkaitan 14 hari pemakluman kepada anggota Dewan Rakyat.

Reply