no comments

Rupanya Ini Sebabnya Kenapa Najib Tak Dipakai ‘Baju Oren SPRM’

Bagi menafikan wujud layanan istimewa dan persoalan mengapa bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak dipakaikan ‘baju jingga‘ dan digari ketika dibawa ke mahkamah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menjawab persoalan ramai itu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, pemakaian baju jingga dan gari adalah bergantung kepada budi bicara pegawai pengendali dan keperluan kes.

“Datuk Seri Najib bukan satu-satunya kes yang kita kendali di mana yang ditahan tidak dipakaikan baju oren dan tidak digari. Sebelum ini pun sudah ada.

“Biasanya, pegawai yang mengendalikan akan melihat jika ada orang yang ditahan itu boleh membawa kemudaratan seperti melarikan diri atau membuat kecoh, maka dia perlu digari dan dipakaikan baju jingga itu,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan seorang pendengar dari Sabah yang bertanyakan ‘mengapa Najib tidak memakai baju oren sama seperti orang kena tuduh lain’ ketika dituduh di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas kesalahan rasuah, dalam program SPRM 360 di Bernama Radio.

Khamis lalu, Najib mengaku tidak bersalah terhadap 25 pertuduhan iaitu empat pertuduhan rasuah dan 21 pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram membabitkan sejumlah hampir RM2.3 bilion.

Bagi kesalahan rasuah, dakwaan dibuat mengikut Seksyen 24(1) Akta SPRM manakala 21 lagi pertuduhan tersebut adalah mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (Amlatfa) 2001 dengan cara menerima, menggunakan dan memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram.

Mahkamah kemudiannya membenarkan Najib diikat jamin dengan menetapkan nilai sebanyak RM3.5 Juta dengan seorang penjamin. Wang jaminan itu dibenarkan dibayar secara ansuran sehingga 28 September ini.

Reply