no comments

Najib Makin Hilang Sabar, Kerajaan Zalim Bekukan Akaun Anak Sakit

Datuk Seri Najib Razak menyifatkan kerajaan Pakatan Harapan bertindak zalim kerana membekukan akaun banknya meskipun akaunnya itu tidak terlibat dengan siasatan yang dilakukan ke atasnya.

Najib meluahkan kekesalannya dalam laman sosial Facebooknya selepas mendapati akaun peribadinya turut dibekukan dan ia hanya disedari selepas ceknya untuk membayar bil perubatan anaknya ditendang bank, pagi tadi.

Najib yang tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya dan merasakan tindakan diambil kerajaan tidak wajar dan amat berat apatah lagi selepas mahkamah membenarkan beliau diikat jamin.

“Saya kecewa dengan tindakan kejam diambil kerajaan sekarang. Kenapa harta peribadi saya disekat sedangkan mahkamah membenarkan saya diikat jamin malah wang jaminan berjumlah RM1 juta juga sudah dibayar?

“Kerajaan perlu sedar bahawa saya juga rakyat biasa. Sebagai ketua keluarga, saya ada bil untuk dibayar, ada bil perubatan untuk dilangsaikan dan rumahtangga untuk diurus. Pembekuan akaun menyukarkan saya memenuhi tugas sebagai ketua keluarga.

“Seperti rakyat Malaysia yang lain, saya ada hak untuk bebas sehingga perbicaraan selesai. Kalau kita tidak menghormati undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan, kita akan menjadi negara yang gagal,” katanya.

Dalam kenyataan itu, Najib menyatakan akaun peribadinya yang dibekukan itu hanya digunakan untuk menerima gaji sebagai ahli parlimen dan bayaran pencen sebagai bekas Menteri Besar Pahang.

“Akaun ini hanya ada transaksi saya menerima gaji sebagai Ahli Parlimen dan pencen Menteri Besar daripada puluhan tahun khidmat saya kepada kerajaan di peringkat negeri dan persekutuan.

“Pagi tadi, saya difahamkan akaun anak saya tidak lagi dibeku. Ini membuktikan tindakan membekukan akaun itu sebelum ini tidak berasas.

“Begitupun, akaun peribadi saya masih dibekukan. Akaun itu tiada kena mengena dengan politik malah tiada kena mengena dengan siasatan pihak berkuasa terhadap saya,” ujarnya.

Puteri Norlisa, anak perempuan bekas perdana menteri itu yang kini menghidap kanser tahap empat, dilaporkan tertekan susulan pembekuan akaun banknya.

Adiknya, Datuk Mohd Nazifuddin berkata, susulan tindakan SPRM, kakaknya sukar membayar bila hospital bagi rawatan kimoterapi bagi kanser darah.

“Tidak sepatutnya buat pembekuan akaun terhadap kakak saya kerana dia sedang lakukan rawatan kimoterapi akibat kanser.

“Rawatan mengambil masa selama enam bulan dan dengan pembekuan ini memberi kesusahan kepadanya untuk membayar bil hospital.

“Kami harap pada masa akan datang, isu ini tidak melibatkan pesakit kanser sepertinya kerana Puteri Norlisa mengalami tekanan dan kesusahan untuk pulih daripada penyakit kanser darah apabila perkara seperti ini berlaku,”katanya.

Norlisa dilapor dikesan menghidap kanser tiga bulan lalu dan kini berulang-alik ke hospital sekali seminggu untuk rawatan.

“Dia perlu lakukannya selama enam bulan dan rawatan ini memakan kos ratusan ribu ringgit. Sebab itulah kita cuba lakukan yang terbaik untuk kakak.

“Apa yang saya boleh cakap Puteri Norlisa kini mengalami tekanan apabila perkara sebegini berlaku kepada keluarga sendiri,”kata Nazifuddin lagi.

Reply