no comments

“Arab Saudi Tak Kecoh Pun Pasal GST & Kenaikkan Harga Minyak, Kenapa Rakyat Kita Merungut?” -Najib

“Arab Saudi tak kecoh pun dengan cukai GST dan kenaikkan harga minyak, kenapa rakyat kita merungut?” -Najib

Datuk Seri Najib Razak hari ini membandingkan reaksi rakyat Malaysia terhadap pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), sebaliknya tidak ada masalah dengan cukai seperti itu di negara lain seperti Arab Saudi.

Najib yang baru pulang daripada mengerjakan umrah bersama keluarga, berkata Arab Saudi banyak meniru model ekonomi Malaysia.

“Di sana, ekonomi model ikut kita. Kita buat GST dia buat. Pergi sana bayar GST. Tetapi orang kita pergi sana bayar GST tidak komplen. Dia komplen di Malaysia sahaja,”katanya.

Arab Saudi yang mengenakan cukai tambahan nilai (VAT) mulai 1 Januari lalu, di mana 5% dikenakan terhadap kebanyakan barangan dan perkhidmatan.

Selain VAT, negara pengeluar minyak terbesar dunia itu turut mengenakan cukai ke atas tembakau dan minuman ringan, serta memotong sesetengah subsidi kepada rakyat tempatan.

Sejak April 2015, Malaysia melaksanakan GST pada kadar 6%.

November lalu, Pakatan Harapan (PH) menerusi Bajet Alternatif 2018 berjanji akan memansuhkan GST dan mengembalikan subsidi bahan api.

Ia terkandung dalam Bajet Alternatif diumumkan gabungan itu.

Najib hari ini turut membandingkan harga minyak di Malaysia dengan kenaikan di negara lain.

Katanya, rakyat Malaysia mengadu walaupun dengan kenaikan 3 sen. Sebaliknya, di Arab Saudi, harga minyak naik 136% dalam sekelip mata.

“Dia merungut tapi tak macam kita. Naik 3 sen dahsyat,” katanya.

“Yang bantah orang sini saja. Bukan semua la satu dua je faham-fahamlah,” tambah Najib.

’93 tahun tak bersara lagi’

Najib dalam ucapannya sekali lagi menyerang Tun Dr Mahathir Mohamad tanpa menyebut nama bekas perdana menteri itu.

Menurut Najib, walaupun sudah berumur 93 tahun, beliau masih tidak mahu bersara, tidak seperti pesara polis yang sama umur tetapi sudah bersara.

“Apatah lagi bila ada bekas ketua polis Melaka umur 93 tahun sama-sama dengan kita yang bersara, namun ada seorang 93 tahun tak nak bersara lagi,” katanya dipercayai merujuk salah seorang yang hadir pada majlis hari ini.

“Kita mesti berjuang. Tugas kita ni takkan bila bersara umur 60 habis. Ada orang 93 tahun tak habis lagi,” katanya berseloroh.

“Dia mengarut dah tu… simpang jauh,” katanya.

Najib berkata sedemikian ketika berucap di hadapan 5,000 pesara di majlis bersama pesara polis di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

FMT

Reply