no comments

“Najib Sepatutnya Duduk Rumah, Tak Payah Sibuk Datang Berkempen” – Penduduk Sg. Kandis

“Najib Sepatutnya Duduk Rumah, Tak Payah Datang Berkempen” – Penduduk Sg. Kandis

Kemunculan Datuk Seri Najib Razak yang ‘turun padang’ membantu jentera BN berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis, semalam, nyata menarik perhatian penduduk setempat itu.

Terdapat penduduk yang menyambut baik kedatangan Najib dengan menyatakan ia mungkin memberi sedikit impak pada pengundian nanti dan tidak kurang juga yang memberi pandangan sinis serta tidak gembira dengan kedatangan bekas Perdana Menteri itu.

Komen Penduduk

“Kita masih hormat dia lagi sebagai bekas PM. Nak kata gembira, tak gembira la, pasal dia dah buat rakyat hidup susah. Kita nak jatuhkan dia, pasal tu kita undi. Kesusahan rakyat ni dia patut turun tengok, pasal dia hidup senang. Kita rakyat marhaen susah payah bekerja, dengan GST.. minyak naik.. kos sara hidup tinggi.”

“Kedatangan Najib tak beri kesan positif, sebab mindset dah tetap. kita pilih siapa. Kalau dah kata benci dia.. takkan nak undi dia lagi.”

“Jika BN menang, mungkin ia disebabkan kriteria Datuk Lokman dan bukannnya sebab Najib, kerana Najib sudah tiada apa-apa sekarang ini,” kata Encik Ajoy.

“Penduduk sungai Kandis mahukan wakil rakyat tempatan. Takkan pilih orang luar. Tapi BN tak pilih orang tempatan. Bermakna kalau macam tu mungkin, kurang menggalakkan lah apabila BN bertanding di PRK Sungai Kandis ini.”

“Najib datang tak datang, sama saja. Yelah, tak datang lagi bagus. Sebab punca-punca ekonomi teruk atas tangan dia. Sepatutnya dia duduk rumah,” kata Md Sarip.

“BN sekarang ni dah tak macam dulu. Banyak sekadar cakap, tapi kerja tak buat.” kata Nizzam Alias.

 

Terdahulu, bekas presiden Umno dan pengerusi BN itu tiba di Bilik Gerakan BN N49 Sungai Kandis kira-kira jam 8.50 pagi semalam dan disambut oleh Pengarah PRK DUN Sungai Kandis yang juga Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Lokman.

Najib bersama kepimpinan dan ahli BN kemudiannya bersarapan bersama-sama sebelum dikejutkan dengan sambutan kek hari jadi yang mana beliau dilahirkan pada 23 Julai 1953. Sambutan itu diiringi dengan lagu ‘Allah Selamatkan Kamu‘.

Selepas meluangkan masa kira-kira setengah jam di bilik gerakan itu, Najib yang diiringi Mohamad dan Lokman melakukan program Kunjungan Kasih dengan melawat 10 rumah golongan tidak bernasib baik di sekitar Kampung Sungai Kandis.

Tinjauan mendapati kehadiran Najib masih mendapat sambutan daripada penduduk, walaupun tidak semeriah semasa beliau berada dalam kerajaan suatu ketika dahulu. Penyokong turut mengambil kesempatan bergambar dengan Najib.

Mengulas mengenai lawatan itu, Najib berkata sambutan begitu mesra sekali kerana mereka merupakan penyokong BN turun temurun.

“Saya minta supaya semangat dan sokongan mereka dipindah kepada anak mereka dan generasi akan datang supaya menyokong calon BN,” katanya.

Najib berkata, Lokman seorang ahli politik yang amat berwibawa dan mempunyai ilmu yang mendalam ketika beliau berkhidmat di Kementerian Kewangan khususnya dalam bidang komunikasi.

“Selain itu, beliau mempunyai perwatakan yang lantang dan berani menyatakan sesuatu pendapat.

“Orang begini yang kita perlukan di Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk memperlihatkan perjalanan demokrasi yang matang lagi sihat kerana perbezaan pendapat ditangani mengikut prinsip demokrasi boleh membawa manfaat kepada rakyat,” katanya.

Najib juga berkata, beliau melihat rakyat kecewa dengan kerajaan HARAPAN (PH) hari ini.

“Saya lihat sehari dua banyak rakyat kecewa kerana banyak janji tidak ditunai dan U-turn dari segi dasar dan perkara yang dekat di hati pengundi terutama orang Melayu.

“Mudah-mudahan kempen ini berjalan sihat, positif dan berakhir dengan sesuatu pengimbangan yang sihat dalam demokrasi negara,” katanya.

Sementara itu, calon PKR, Zawawi Mughni berkata kunjungan Najib ke Sungai Kandis untuk kempen BN semalam sebenarnya menguntungkan beliau, bukan parti lawan.

Ini susulan rakyat sudah menolak Najib dalam pilihan raya umum lalu, kata calon PKR bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis itu.

“Saya tidak tahu strategi mereka ini akan menguntungkan mereka atau saya.

“Tetapi, saya yakin kedatangan mantan perdana menteri itu akan menambahkan lagi sokongan kepada saya kerana penolakan rakyat terhadap Najib adalah jelas,” kata beliau.

Dalam sidang media di DUN itu, Zawawi juga berkata, beliau difahamkan ada satu lawatan Najib terpaksa dibatalkan kerana melihat “penolakan masyarakat”.

PRK Sungai Kandis diadakan susulan kematian wakil rakyatnya, Mat Shuhaimi Shafiei, 50, pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.

Pertembungan tiga penjuru kali ini membabitkan calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, calon Bebas, K Murthy dan calon BN, Datuk Lokman Noor Adam.

Reply