no comments

Najib Menghadapi 3 Lagi Tuduhan Di Mahkamah Esok

Datuk Seri Najib Razak dijangka akan berdepan dengan tiga lagi tuduhan membabitkan kesalahan pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, esok.

Tiga tuduhan itu adalah mengikut Seksyen 4 Akta Pencegahan POengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Wang Haram (AMLATFA) 2001.

Seksyen itu menyebut mengenai kesalahan antaranya membabitkan secara langsung atau tidak langsung dalam transaksi hasil aktiviti haram, memperoleh, menerima, memiliki, mengalihkan atau membawa masuk ke dalam negara hasil aktiviti haram.

Mengikut seksyen itu, jika disabitkan boleh didenda maksimum RM5 juta atau dipenjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Peguam Negara, Tommy Thomas dalam sidang media pada April lalu, berkata pihak pendakwaan akan mengemukakan lebih banyak pertuduhan berkaitan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sekiranya terdapat lagi kertas siasatan baharu diberikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pada 4 Julai lalu, Najib didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan melakukan pecah amanah dan satu tuduhan menyalahgunakan jawatannya berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Esok ditetapkan bagi sebutan kes berkenaan. Pihak mahkamah sudah mengatur persiapan dengan memasang penghadang di lobi mahkamah bagi memudahkan urusan pendaftaran wartawan yang mengikuti prosiding kes berkenaan.

Najib telah diminta hadir ke sebuah pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) hari ini untuk lanjutan soal siasat dan dimaklumkan berkaitan pertuduhan esok di situ.

Reply