no comments

Jika Najib Dilucutkan, Anwar Bakal Bertanding Kerusi PEKAN?

Kerusi Parlimen buat Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas memenangi jawatan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) masih lagi menjadi teka-teki.

Bagaimanapun, PKR tidak menolak kemungkinan Presiden partinya itu akan bertanding di kerusi Parlimen Pekan, bagi membolehkan beliau menyertai semula arena politik negara.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, namun perkara ini bergantung kepada perkembangan semasa kes mahkamah yang dihadapi Datuk Seri Najib Tun Razak, yang kini penyandang kerusi berkenaan.

“Buat masa ini belum buat keputusan tapi kita tengok apa yang berlaku dengan Parlimen Pekan (kerusi Najib).

“Saya rasa mungkin akan berlaku dalam bulan-bulan akan datang di mana banyak daripada kes-kes yang mungkin di mahkamah atau akan masuk di mahkamah akibat daripada siasatan SPRM mungkin kita boleh lihat keadaan bagaimana nanti,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga merupakan isteri Anwar mengesahkan bahawa suaminya akan bertanding merebut kerusi Parlimen.

Bagaimanapun, jelas Wan Azizah, kerusi Parlimen yang mana menjadi pilihan itu terpulang kepada Anwar.

Rentetan itu, Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen sedia mengosongkan kerusinya untuk memberi laluan kepada Anwar jika diminta berbuat demikian.

Bagaimanapun, menurut William sehingga kini beliau masih belum diberitahu atau berbincang berkenaan pengosongan posisinya di Selayang demi membuka jalan kepada Anwar.

Dalam perkembangan terbaharu isu ini, sehingga kini Anwar masih belum membuat keputusan kerusi parlimen mana yang mahu ditandingi.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata Anwar kini sudah bersedia untuk pergi ke mana-mana kerusi Parlimen.

“Itu satu kepastian kerana saya percaya bukan sahaja sudah bersedia ke Parlimen malah rakyat Malaysia juga bersedia nak melihat Anwar sebagai pemimpin dalam persada politik.

“Saya percaya banyak tempat yang ada buat Anwar, Parlimen Lembah Pantai ada Selayang ada Setiawangsa, Pekan pun ada,” katanya.

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Pekan kini berhadapan dengan pelbagai kes.

Beliau hadir bagi memberi keterangan kes SRC International Sdn Bhd di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Jalan Tuanku Abdul Halim, petang tadi.

Terbaru Najib bakal berdepan dengan tiga lagi pertuduhan baru di bawah Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang akan didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur, esok.

Pada PRU14 meraih majoriti besar sebanyak 24,859 undi menewaskan pencabar terdekatnya Ahiatudin Daud dari Pas yang memperoleh 18,995 undi, Zahid Mat Arip dari PKR (7,662 undi) dan calon bebas, Datuk Padukan Abd Kadir (103 undi) dalam pertembungan empat penjuru.

Reply