no comments

Tun M Cabar Najib Tarik Balik Kata-Kata “Musuh AS, Musuh Malaysia Juga”

Tun Dr Mahathir Mohamd mencabar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menarik balik kata-kata serta janji-janjinya semasa lawatan rasmi ke Amerika Syarikat pada bulan September lalu.

“Musuh kamu – mereka yang mengkufuri agama majoriti rakyat Malaysia dengan mendakwa keganasan mereka adalah Islam – adalah juga musuh kita,” kata Najib dalam satu tulisan yang diterbitkan dalam laman web politik Amerika Syarikat, The Hill sempena ulang tahun serangan pengganas 11 September, 2001.

Gesaan Tun M itu dibuat susulan Najib yang menyertai perhimpunan di luar masjid Putrajaya petang tadi untuk mengecam pengiktirafan Trump terhadap Baitulmuqaddis sebagai ibu kota Israel.

“Parti pembangkang hanya mampu berdemonstrasi. Tetapi kerajaan boleh bertindak secara bermakna.

“Demonstrasi Umno bersama PAS hanya menjadi bermakna jika kerajaan BN bertindak terhadap Trump dan Amerika Syarikat,” katanya dalam satu catatan di blognya.

Mahathir berkata kerajaan harus mencontohi Turki dengan menubuhkan sebuah konsulat Malaysia yang diakreditasi kepada kerajaan Palestin di Baitulmuqaddis.

“Kami memanggil kerajaan Malaysia untuk mengundi memihak kepada resolusi draf yang mengutuk keputusan AS untuk mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

“Pembangkang juga menyeru Najib untuk menarik balik kata-katanya kepada Trump semasa kunjungan ke atas presiden itu bahawa musuh AS juga adalah musuh Malaysia,” katanya.

Mahathir berkata AS menganggap Palestin sebagai musuh dan oleh itu Malaysia mesti memberi jaminan kepada dunia bahawa Palestin bukan musuhnya juga.

Beliau berkata Malaysia juga harus menunjukkan bahawa ia menyokong Baitulmuqaddis sebagai ibu kota Palestin.

Tun M turut hadir kira-kira jam 12.55 tengah hari ke Himpunan Solidariti Selamatkan Baitulmaqdis anjuran kerajaan, di Masjid Putra.

Sementara itu, Najib menegaskan beliau tidak akan menggadai prinsip dan kesucian Islam walaupun mempunyai hubungan baik dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.

“Saya nak jelaskan bahawa ya, Donald Trump adalah kenalan baik saya, tetapi saya tetap dengan prinsip untuk tidak akan menggadaikan kesucian Islam,” kata Najib.

Beliau berkata demikian dalam himpunan solidariti Palestin di Putrajaya hari ini bagi membantah tindakan negara itu mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara baru Israel.

Malaysiakini

Reply