Kerajaan PH Fail… Hanya Dapat Markah ‘D’, Kena Repeat Paper
Menggunakan analogi seperti peperiksaan di universiti, PAS hanya memberikan markah 27 hingga 30 peratus kepada kerajaan PH, yang hampir sama seperti pandangan rakyat dalam analisa yang dilakukan di media sosial.
Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man menganggap kerajaan Pakatan Harapan telah gagal dalam melaksanakan janji 100 harinya.
Menurutnya, jika diambil kira keadaan tersebut, kerajaan sepatutnya perlu repeat paper (ulang mengambil peperiksaan) disebabkan peratusan markah mereka yang rendah.
“Dalam media sosial, netizens ada yang kata 20 peratus berjaya tunaikan janji dan ada yang kata dalam 30 peratus tapi kalau tanya Pas, kita rasa lebih rendah.
“Tapi saya letak dalam 27 ke 30 peratus juga. Jadi Harapan hanya dapat Gred D saja laaa, kena ‘repeat’ balik paper tersebut,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini.
Tambah Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, kegagalan menunaikan janji tersebut bermakna jawatankuasa gagal mengkaji dengan teliti sebelum kemukakan segalanya kepada rakyat.
Tegas beliau, kerajaan sebaliknya melakukan perkara-perkara yang tidak sepatutnya seperti membina projek kereta nasional ketiga dan Formula 1 yang bukan keutamaan bagi rakyat.
“Kita tidak pertikai soal waktu tapi yang kita pertikai soal janji kerana janji itu dibuat mereka sendiri, bukan orang lain tetapkan.
“Samada boleh kekal (mentadbir Malaysia) bergantung kepada kerajaan yang ada memberi nilai tambah bagi rakyat dan mencapai apa dikehendaki rakyat,” ujarnya.
Walaupun kerajaan memberikan alasan hutang tinggi negara yang mencecah RM1 trilion sebagai penghalang, Tuan Ibrahim menyifatkan ia tidak boleh dijadikan alasan kerana hutang negara diumumkan di Parlimen.
Tanggal 17 Ogos 2018 (esok), maka genaplah 100 hari pentadbiran kerajaan PH, namun masih banyak janji-janji dalam manifestonya yang masih tidak tertunai buat rakyat.
Pada perkembangan lain, dalam sidang media itu juga, PAS memberi amaran akan mengheret Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) ke mahkamah atas tuduhan menghina kerana mengecam keputusan Mahkamah Syariah yang menjatuhkan hukuman ke atas dua wanita kerana melakukan hubungan sejenis.
Sehubungan itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan menggesa Pengerusi Suhakam Tan Sri Razali Ismail untuk menarik balik kenyataan suruhanjaya itu semalam, yang membidas sabitan itu sebagai hukuman tidak berperikemanusiaan dan satu bentuk penyeksaan.
Menurut pemimpin PAS itu, wanita berkenaan, masing-masing dikenakan denda RM3,300 dan enam sebatan, yang adalah dalam bidang kuasa mahkamah syariah.