no comments

Islamiknya Kelantan Hanya Syok Sendiri, kata Husam

Tanggapan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) selama ini bahawa Kelantan sebuah negeri Islamik sebagai ‘syok sendiri’ kata Datuk Husam Musa.

Senator Datuk Husam Musa yang merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan, berpandangan takrifan yang diguna pakai Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bahawa negeri Kelantan lebih Islamik berbanding negeri lain sebagai tidak tepat.

Tegasnya, ukuran dan takrifan itu sepatutnya berasas kerana hakikatnya tiada keadaan yang boleh mencerminkan Kelantan sebagai sebuah negeri lebih Islam berbanding negeri lain.

Jika diperhalusi keadaan semasa di Kelantan, tiada apa-apa pun hal yang boleh dibanggakan bagi menunjukkan negeri itu lebih Islamik.

“Jadi pengakuan bahawa Kelantan lebih Islamik hanya satu syok sendiri sahaja, kita kena lihat apakah ukuran dan apa KPI yang kata Islam kuat di Kelantan dan negeri lain tak kuat sebagaimana Kelantan,” ujarnya.

“Ini satu eskapisme. Sebenarnya kalau ditimbang-timbang tak ada apa pun lebih Islamiknya di Kelantan berbanding negeri lain,” katanya.

Sekiranya ukuran Islam berdasarkan kehadiran ramai ke masjid, negeri lain turut menyaksikan lebih ramai kehadiran jemaah ke masjid.

Malah, katanya, program di kedua-dua negeri itu lebih meriah berbanding Kelantan.

“Jadi pengakuan bahawa Kelantan lebih Islamik adalah satu perkara yang syok sendiri sahaja,” katanya kepada media selepas merasmikan Hari Ibu Bapa Kelantan 2019 di Kota Bharu, hari ini.

Tahap kebersihan di Kelantan yang dikatakan berimej islam juga tidak memuaskan berbanding negeri lain.

Majlis itu dianjurkan Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara dengan kerjasama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Husam berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob, yang dilaporkan berkata, isu empat remaja perempuan yang ditahan polis kerana disyaki memijak al-Quran adalah ujian kepada Kelantan sebagai negeri yang kuat dalam aspek Islamnya.

Kata Ahmad, isu tersebut tidak akan dibangkitkan sekiranya berlaku di negeri selain Kelantan.

Bekas exco kanan Kelantan itu menambah, untuk membuat kenyataan sebegitu kerajaan negeri perlu mengukurnya melalui KPI agar piawaiannya tepat.

Baca Polis tangkap 4 remaja susulan kes pijak al-Quran.

“Apa KPI untuk Kelantan? Kalau lombong haram wujud di Kelantan, ini tidak Islamik. Kalau pembalakan berleluasa di Kelantan, ini tidak Islamik.

“Kalau anak-anak syarikat kerajaan negeri mengalami kerugian kerana kegagalan urus tadbir, ini juga tidak Islamik.

“Kalau negeri lain lebih bersih tetapi Kelantan tak bersih, bermakna dari segi KPI itu, tidak Islamik.

“Cuma kita syok sendiri, kita kata kitalah paling Islamik,” ujarnya.

Tambah Husam, semua pihak perlu bersikap realistik dan tawaduk dalam mentafsir perkara berkenaan bagi mengelakkan mana-mana pihak berasa lebih tinggi berbanding orang lain.

Katanya keadaan menjadi lebih buruk apabila ditanya bukti bagi menyokong dakwaan Kelantan lebih Islamik berbanding negeri lain, ia tidak dapat diketengahkan.

Untuk menyandarkan dakwaan itu hanya kepada keimanan, kata Husam, ia sukar dilakukan kerana aspek tersebut hanya diketui sebenar-benarnya oleh tuhan.

“Yang dalam dada, keimanan, hanya tuhan saja tahu. Orang lain tak tahu.

“jadi kalau yang dalam dada kita nak ukur, tak boleh,” tegas Husam yang juga naib presiden Amanah itu.

Terdahulu, Menteri Besar Kelantan, Dato’ Ahmad Yakob mengulas mengenai kejadian seorang remaja perempuan memijak Al-Quran yang berlaku di Negeri Kelantan.

Dalam posting MB Kelantan itu sebelum ini beliau berkata:

“Ini cabaran ketika kita memimpin atas nama Islam, tempat (negeri) kuatnya Islam, maka syaitan pun besar, kita akan berhadapan cabaran seperti ini ketika kita berusaha kuat untuk melahirkan orang yang lebih baik.

“Tetapi negeri yang tidak kuat Islam, tidak pula berbangkit perkara buruk.

Reply