Hina Agong: Hishamuddin Rais Dakwa Blognya Digodam
Hishamuddin Rais mendakwa blognya digodam pihak lain sekaligus menafikan dirinya memuat naik artikel berbaur hasutan dan hinaan ke atas Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Sultan Muhammad V, Rabu lalu.
Peguam yang mewakili Hishamuddin, Zaid Malek berkata, mereka sudah membuat satu laporan berhubung perkara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Selangor, petang semalam, mendakwa blognya digodam pihak tertentu sebelum menulis dan memuat naik artikel berbaur hinaan itu.
“Susulan itu, polis memanggil Hishamuddin untuk memberi keterangan. Kami hadir di Balai Polis Petaling malam ini bagi membantu siasatan dan tiada tangkapan dilakukan.
“Proses mengambil keterangan mengambil masa kira-kira sejam setengah dan selesai pada 12 tengah malam,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, dalam satu kenyataan kepada media, Zaid dikatakan menemani Hishamuddin ke Balai Polis Petaling pada 10.30 malam tadi.
Hishamuddin melalui blognya www.tukartiub.blogspot.com dilaporkan melemparkan pelbagai kata-kata kesat dan tuduhan melampau terhadap YDPA.
Malah, tulisan blog itu sempat tular di laman sosial sebelum tinjauan di laman blog berkenaan mendapati kenyataan itu sudah dipadamkan.
Semalam, lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di Pahang membuat laporan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan terhadap aktivis sosial itu yang didakwa memuat naik artikel berbaur hasutan tersebut.