no comments

GERAKAN Pula Menyusul Keluar Tinggalkan BN

Seperti dijangka, satu lagi parti komponen Barisan Nasional (BN), iaitu Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) hari ini mengumumkan keluar dibawah bumbung BN untuk menjadi sebuah parti pembangkang bebas yang konstruktif.

GERAKAN dalam satu kenyataan berkata, keputusan sebulat suara itu dibuat hasil mesyuarat Jawatankuasa Pusat GERAKAN (CGC).

“Keputusan ini dibuat selepas perbincangan, penelitian dan pertimbangan yang menyeluruh dan serius terhadap perkembangan politik semasa negara pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Sentimen dan maklum balas daripada akar umbi juga diambil kira dalam keputusan ini, pemilihan parti di peringkat cawangan sedang berlangsung di seluruh negara. Ia selaras dengan matlamat kami untuk menyatukan parti dan ahli,” katanya.

Menurut kenyataan itu, GERAKAN wajar memulakan perjalanan politik baharu dengan kebebasan, pemerkasaan dan ketegasan untuk memperjuangkan kepercayaan terbaik demi negara dan rakyat.

Mengulas lanjut, keputusan itu selaras dengan aspirasi, keperluan dan permintaan baru oleh rakyat pasca PRU-14 selain memutuskan bahawa GERAKAN harus melakarkan hala tuju baharu untuk terus kekal dalam perjuangan.

“Kami keluar BN di bawah suasana yang baik, GERAKAN akan memainkan peranan sebagai sebuah parti yang bebas dalam blok pembangkang untuk menjalankan semak dan imbang ke atas Kerajaan Pakatan Harapan.

“Kami akan bekerjasama dengan parti, invididu dan kumpulan yang berkongsi fahaman dan perjuangan yang sama atas kepentingan nasional untuk memartabatkan dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, kedaulatan undang-undang dan demokrasi Malaysia,” katanya.

Katanya, GERAKAN sentiasa menjunjung idealisme politik, prestasi dan integriti sebagai aset selain menjadi perintis liberalisme, kepelbagaian kaum dan pragmatisme dalam politik Malaysia sekali gus berusaha memainkan peranan dalam sistem multi-parti yang matang.

Pada 12 Jun lalu, empat parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak turut mengumumkan keluar daripada perikatan gabungan BN Pusat dengan membentuk gabungan baharu dinamakan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Pengerusi BN Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, keputusan empat parti tersebut iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) meninggalkan perikatan BN diambil selepas mengambil kira situasi politik semasa.

Menurutnya, keputusan pembubaran BN Sarawak selepas 44 tahun bersama BN Pusat adalah demi kepentingan rakyat Sarawak secara keseluruhannya.

Keputusan GERAKAN itu menyaksikan BN hampir terkubur kerana kini hanya bertahan dengan tiga parti iaitu UMNO, MCA dan MIC.

Reply