Gambar Najib ‘Mati’ Di Jirat Cina Ditularkan, Report Polis Dibuat PFP

Susulan gambar tular Datuk Seri Najib Razak yang disunting dengan berlatar belakangkan kubur Cina di Facebook, Penang Front Party (PFP) semalam telah membuat laporan polis terhadap individu yang didakwa menghina bekas Perdana Menteri itu.

Ketua Pemuda PFP, Teoh Kean Liang berkata perbuatan itu dilihat sebagai tidak bermoral dan biadap serta satu contoh buruk yang ditunjukkan netizen terhadap Najib.

“Saya dari pada kaum Cina, saya sendiri tidak dapat menerima perbuatan seumpama itu yang dilihat boleh mencetuskan isu perkauman serta menyinggung penganut agama lain.

“Kami memandang serius perbuatan ini yang dilihat cuba menjatuhkan imej bekas perdana menteri itu, kita sudah diajar tentang pendidikan moral di sekolah dan mesti menghormati semua kaum tanpa mengira latar belakang,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, di George Town.

Jumaat lalu, seorang pemilik akaun Facebook memuat naik gambar Najib yang disunting berlatarkan kubur Cina serta wang kertas untuk orang mati, perbuatan itu disifatkan sebagai memberi maksud yang Najib sudah mati dan dikuburkan di situ.

Teoh berkata pihaknya turut membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya menyiasat dan mengambil tindakan terhadap pemilik akaun itu.

Najib yang tewas dalam pilihanraya ke-14 itu kini telah menghadapi tuduhan melakukan pecah amanah dan menyalahgunakan kuasanya berhubung dana SRC International Sdn Bhd (Anak syarikat 1MDB) berjumlah RM84 juta.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top