no comments

Tak Cukup Data: Penulis Manifesto PH, Mahu Kerajaan Bercakap Benar, Tak Mampu Tunai Janji

Tak Cukup Data: Penulis Manifesto PH, Mahu Kerajaan Bercakap Benar Tak Mampu Tunai Janji

Wan Saiful Wan Jan, penulis manifesto Pakatan Harapan (PH), mengakui tidak cukup data ketika menulis janji-janji dan berharap kerajaan berani untuk bercakap benar kepada rakyat memandangkan terdapat manifesto yang menurutnya tidak mampu ditunaikan.

Ini kerana menurut pembantu khas kepada menteri pendidikan itu, beliau tidak dapat mengakses kepada maklumat atau data tertentu, menyebabkan wujud ‘kelemahan’ dalam manifesto berkenaan.

“Sebenarnya pada waktu saya menulis, saya sentiasa sedar bahawa ada satu kelemahan yang amat ketara yang saya hadapi iaitu saya tidak ada, pada waktu itu, data terkini mengenai status kewangan negara.

“Maka saya tidak dapat membuat anggaran berapa kos sebenar yang perlu dibayar untuk melaksanakan program-program yang saya sendiri tuliskan,” katanya.

“Mana senang, kita laksanakan, yang mana mencabar sikit-sikit kita kena usahakan dan yang betul-betul tidak boleh dilakukan kerana ada kekangan. Maka kita kena berani mengaku, inilah realitinya.

“Saya ini baru uruskan 1 daripada janji, dan saya kasihan kepada menteri yang menguruskan 10 hingga 20 janji, sedangkan 1 janji sahaja memakan masa berminggu-minggu untuk lakukan. Hingga hari ini, saya masih tidak mampu lakukan, tetapi akan terus mencuba,” katanya dalam forum di Universiti Malaya, hari ini.

Bagaimanapun, Wan Saiful berkata pindaan terhadap manifesto PH wajar dilakukan memandangkan maklumat terkini dan data berkaitan ekonomi boleh diperolehi sejajar dengan perkembangan semasa.

“Pada waktu itu (ketika menulis draf manifesto PH), saya ada menyuarakan kepada pimpinan parti walaupun manifesto tidak menimbulkan masalah semasa kempen, saya bimbang ia akan menjadi cabaran selepas kempen,” katanya.

Beliau juga mengakui sebahagian daripada janji dalam manifesto PH adalah bersifat populis dan terdapat sebahagian janji dibuat tanpa maklumat secukupnya.

Katanya, 10 janji pertama untuk 100 hari dalam manifesto adalah bersifat populis namun yakin ia berbaloi dilakukan demi memastikan negara di landasan sewajarnya.

“Jika ada pihak yang menuduh Buku Harapan adalah populis, maka 10 janji pertama mungkin boleh dikatakan populis, hinggakan saya sendiri pada asalnya tidak selesa menulisnya.

“Bagi saya, 10 janji pertama adalah harga kecil yang perlu dibayar demi memastikan sekitar 90 janji lain (50 dalam Teras dan 40 dalam Iltizam Khusus) dapat dilaksanakan,” katanya.

Menjelaskan mengenai maklumat tidak mencukupi sewaktu lakukan draf manifesto, penasihat khas kepada menteri pendidikan itu berkata, maklumat yang tidak mencukupi melibatkan perkara dalam Teras 1 manifesto.

“Saya boleh sahkan ia adalah di Teras 1, yang lebih melibatkan isu ekonomi dan kewangan negara, Teras yang lain tidak ada masalah kerana kita boleh dapatkan bahan dari jurnal atau penulisan akademik lain.

“Kita tidak dapat data untuk tahu berapakah nilai jumlah hutang dalam kerajaan, kerana kita tidak boleh akses data berkenaan, bahkan tidak diberikan peluang untuk akses.

“Contohnya, sewaktu saya lakukan draf dalam manifesto, saya tidak ada idea berapakah jumlah peminjam PTPTN yang mempunyai pendapatan bawah RM4,000 sebulan.

“Hingga kini, apabila saya dilantik sebagai pengerusi, saya tanya PTPTN mereka sendiri juga tidak tahu kerana kita tidak ada data untuk perkara tersebut,” katanya merujuk Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Disebabkan itu, beliau meminta kerajaan PH mempertimbangkan permohonan supaya tidak menafikan hak pembangkang dari Barisan Nasional (BN) dan Gagasan Sejahtera (PAS) untuk diberi akses memiliki data pada pilihan raya umum akan datang.

Isnin lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata bahawa, manifesto HARAPAN “bukan kitab suci” yang wajib dipatuhi sebaliknya ia hanyalah panduan.

Reply