no comments

‘Dah Kena Pukulan Maut, Tapi Masih Pekak’: KJ Hentam UMNO Cukup-Cukup Di Twitter

‘Dah Kena Pukulan Maut, Tapi Masih Pekak’: KJ Hentam UMNO Cukup-Cukup Di Twitter

Khairy Jamaluddin yang gagal merebut jawatan presiden parti pada Pemilihan Umno lalu mula berani menyuarakan bahawa parti itu gagal mendengar suara rakyat walapun kalah teruk pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Sejak selesai pemilihan Umno, apa yang parti saya buat? Main sentimen kaum, kutip tabung untuk mantan presiden dan ‘repeat’ (ulang) semula.

“Tak salah kita bersolidariti dengan DSN (Datuk Seri Najib Tun Razak) tetapi tak kan itu sahaja Umno “baharu”?

“Dah kena pukulan maut semasa PRU14, masih pekak terhadap suara rakyat,” kata Khairy di Twitter.


Bekas Menteri Belia dan Sukan itu merujuk kepada kempen derma tabung yang dilancarkan oleh kumpulan “Solidariti Bersama Datuk Najib” pada 5 Julai lalu.

Khairy kemudian menyelar tindakan pemimpin Umno dan mendakwa rakan-rakannya dalam parti tersebut sengaja bermain dengan isu perkauman dalam kalangan orang Melayu susulan pelantikan beberapa jawatan tertinggi di negara ini daripada bukan Islam.

“Jika modal untuk PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) hanya dengan momokan orang Melayu dengan isu seperti pelantikan bukan Melayu sebagai AG (Peguam Negara, Ketua Hakim dan lain-lain, lupakan sahaja impian menawan semula Putrajaya.

“Keresahan Melayu memang ada, tetapi perkara ini kecil berbanding isu ekonomi, sosial dan lain-lain,” menurut Khairy.

Kata beliau, Umno kini berada di persimpangan sama ada hendak memilih haluan kanan atau tengah.

“Ke kanan mungkin menang sorak sementara. Tetapi pasti lingkup 10 ke 15 tahun lagi.

“Haluan tengah bukan mudah. Sukar difahami akar umbi. Tetapi itulah jalan yang ada untuk ‘survive’ (bertahan),” katanya.

Tambah bekas Ketua Pemuda Umno itu lagi, beliau belum meninggalkan parti kerana menganggap Umno sebagai khemah yang besar untuk orang Melayu.

Jelas beliau, nadi asal Umno adalah moderat (kesederhanaan), haluan tengah dan meraikan kepelbagaian.

“Tetapi saya tak setuju dengan manifestasi rasis yang semakin wujud selepas pemilihan parti,” tambahnya.

Khairy juga enggan menerima sebarang jawatan selepas kekalahan pada Pemilihan Umno 2018 kerana mahu kebebasan bersuara di dalam parti itu.

“Saya tak lompat ke mana-mana. Saya tetap bersama Umno.

“Cuma saya nak perbetulkan rumah saya agar tidak kekal berwajah haluan kanan yang ekstrim dan rasis selama-lamanya.

“Anda boleh berkata saya bermimpi, tapi bukan saya seorang sahaja begitu,” jelas Ahli Parlimen Rembau itu lagi.

UMNO kini dipimpin oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang telah memenangi jawatan Presiden parti dalam pemilihan pada 30 Jun lalu mengalahkan pesaingnya dengan majoriti undian sebanyak 93 undi.

Reply