no comments

Anak Najib, Datuk Nizar Menang Tanpa Bertanding

Anak mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, iaitu Datuk Mohd Nizar kini dilantik menjadi Ketua Pemuda Umno Pekan setelah menang tanpa bertanding pada Persidangan Perwakilan Pemuda Umno Bahagian itu di Pekan, Pahang hari ini.

Mohd Nizar, 40 tahun, menggantikan Datuk Shahruddin Ahmad yang memegang jawatan itu penggal lalu gagal bertanding kerana melebihi had umur kelayakan. Mengulas pemilihannya, beliau berazam untuk membangkitkan kembali UMNO ke martabat yang sepatutnya.

“Saya lihat sokongan dan semangat juang pemimpin Umno masih kuat dan tidak terhenti. Persidangan Perwakilan Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Pekan hari ini juga menyaksikan dewan ini penuh dihadiri anggota parti.

“Mereka begitu komited dan membuktikan parti Umno masih relevan… apa yang perlu dilakukan kini ialah membuang sikap angkuh, politik wang serta segala yang negatif selain cuba memenangi kembali hati anak muda,” katanya ketika berucap pada persidangan itu.

Mohd Nizar berkata dalam keadaan politik yang mencabar pada masa kini, amat penting bagi Umno menjadi pembangkang yang kuat dan mampu membawa masalah rakyat dengan berkesan.

“Justeru saya amat merayu kepada anggota dan pucuk pimpinan Umno agar rapatkan saf kerana kita berjuang demi parti yang memperjuangkan agama Islam,” katanya.

Beliau turut meminta ahli UMNO dan pergerakan Pemuda bahagian itu khususnya untuk bersatu dan bekerjasama mendengar suara hati anak muda dan cuba untuk mengikutinya.

“Apabila kita kalah ia sesuatu yang kita tidak mahukan tetapi mungkin baik bagi kita…jadi sekarang kita perlu menjadi pembangkang yang berwibawa,” katanya.

Beliau berkata, UMNO perlu menjadi pembangkang yang berwibawa yang mampu membawa masalah rakyat di Parlimen.

Sementara itu, Shahruddin berkata sokongan anggota Umno khususnya di Pekan terhadap Najib selaku wakil rakyat Parlimen Pekan masih utuh dan tidak berbelah bagi.

“Kekalahan pada PRU14 bukan atas faktor beliau. Kita percaya beliau adalah pemimpin yang bersih dan disayangi rakyat sehingga ke hari ini,” katanya.

Pada majlis itu, lebih 500 perwakilan Pemuda hadir bagi membuang undi untuk memilih barisan kepimpinan baharu sayap parti berkenaan.

Reply