[Al-Fatihah] ADUN Seri Setia (PKR) Prof Dr Shaharuddin Pula Meninggal Dunia
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia (PKR), Prof. Dr. Shaharuddin Badaruddin telah menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 6.28 petang tadi di Hospital Putrajaya.
Berita kematiannya ini disahkan oleh anak Allahyaham, Atiqah Shaharuddin.
“Jenazah akan dibawa pulang ke rumah selepas Maghrib di alamat No 15, Jalan Pinggiran Putra 2/3 Desa Pinggiran Putra 43000 Kajang, Selangor.”
“Jenazah kemudianya akan dikebumikan esok di Tanah Perkuburan Kampung Limau Manis selepas disembahyang di masjid kampung itu,” umum Atiqah melalui sebuah kenyataan.
Allahyarham Shaharuddin yang berusia 56 tahun, dikatakan menghidap kanser usus (Colon Cancer) tahap empat sejak dua tahun lalu.
Tahap kesihatan Shaharuddin dikatakan mula merosot sejak dua minggu lalu.
Beliau merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan, Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan dan juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Beliau adalah bekas Timbalan Naib Canselor UNISEL dan Ahli Lembaga Pengarah Institut Darul Ehsan (IDE).
Shaharuddin dilantik menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (AMMKN) Selangor selepas memenangi kerusi DUN Seri Setia pada Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.
Pada Pilihan Raya Ke-14 (PRU-14), Shaharuddin memenangi kerusi DUN Seri Setia selepas menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Yusoff M Haniff dengan memperoleh sebanyak 29,250 undi.
Beliau mengalahkan Yusoff yang memperoleh 9,878 undi selain calon PAS, Mohd Ghazali Daud (4,563) dan calon Bebas, S Vigneswaran (217).
Susulan kematiannya itu, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri mengucapkan salam takziah buat keluarga Allahyarham.
Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan pemergian Allahyarham Prof Dr Shaharuddin sebagai lumrah kehidupan manusia.
Perdana Menteri berkata, yang pergi pasti akan ada pengganti.
“Manusia kadang-kadang dia kena sampai ajal matilah. Jadi, kita sebagai wakil rakyat ada proses untuk ganti. Kita kenalah adakan pilihanraya,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut menzahirkan simpati terhadap pemergian Shaharuddin.
“Al-fatihah. Buat kali kedua selepas PRU-14, PKR berduka kerana kehilangan rakan seperjuangan kami.
“Salam takziah kepada keluarga Dr Shaharuddin, ADUN Seri Setia yang kembali ke rahmatullah. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang beriman,” katanya dalam satu status di Twitternya, hari ini.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari pula berkata, Shaharuddin telah menabur bakti selama 30 tahun sebagai pendidik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan juga merupakan bekas Timbalan Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL).
Menurut Amirudin, jasa dan pengorbanan Shaharuddin sebagai ahli akademik dalam mendidik anak bangsa serta merencana polisi pendidikan adalah tidak ternilai dan allahyarham juga adalah sahabat rapat beliau serta rakan seperjuangan dalam politik.
“Semoga Allah swt memberi ganjaran yang baik atas segala jasa dan budinya. Saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga allahyarham Prof Shaharuddin atas pemergian ini. Semoga rohnya ditempatkan di kalangan golongan yang soleh, dicucuri rahmat Allah swt serta dikurniakan husnul khatimah,” katanya.