no comments

Akaun SUPP Pula Dibekukan SPRM

Selepas UMNO, kini akaun bank Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) pula dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Perkata itu disahkan sendiri oleh Presiden SUPP, Datuk Dr Sim Kui Hian dalam dalam satu kenyataannya malam ini.

“SUPP menerima sepucuk surat daripada banknya menyatakan akaun ibu pejabat parti telah dibekukan selama tiga bulan bagi siasatan SPRM.

“SUPP akan akur dengan sebarang siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa seperti yang diamalkan selama ini,” demikian menurut kenyataan ringkas itu.

Beliau yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, berkata kepemimpinan parti itu memberi kerjasama penuh kepada agensi berkaitan, khususnya SPRM bagi membantu proses siasatan.

Bagaimanapun, Sim enggan mengulas sama ada prosedur itu mempunyai kaitan dengan skandal penyelewengan dana 1MDB yang sedang dijalankan ketika ini.

Sim berkata demikian ketika mengulas laporan mengenai tindakan pembekuan 900 akaun bank Task Force 1MDB membabitkan pertubuhan dan parti politik tertentu yang menerima peruntukan dana 1MDB.

Semalam, calon Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan akaun bank UMNO pusat, Selangor dan Johor telah dibekukan SPRM.

Reply