Akaun Derma Untuk Jamin Najib Juga Dibekukan
Akaun bank yang dibuka oleh Umno Pekan bagi membantu mengumpulkan dana membayar wang ikat jamin ketua bahagiannya dan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dilaporkan telah dibekukan.
Ketua Wanita Umno Pekan, Zalmah Abdul Rahman berkata, beliau hanya mengetahui pembekuan akaun tersebut 7 pagi sabtu.
“Pembekuan akaun ini hanya di Pekan, saya tidak tahu mengenai tempat lain, tetapi akaun ini dibuka oleh Umno Bahagian Pekan,” kata Zalmah kepada Malay Mail.
Di laman Facebook “Pejabat YAB Ahli Parlimen Pekan” memuat naik status mengenai akaun itu, untuk membuat kutipan bagi membantu kos guaman dan ikat jamin bekas perdana menteri itu telah dibekukan.
“Transaksi tidak dapat dilakukan. Bagi sesiapa yang ingin menyumbang secara tunai boleh menghubungi nombor yang tertera di bawah,” menurut status itu.
Walau bagaimanapun, tabung derma Najib yang diikhtiarkan bekas ketua pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Razlan Rafii masih beroperasi.
Menurut Razlan, jumlah sumbangan terbaru yang diterima hanya boleh diperiksa pada hari Isnin ini.
Setakat jam 5 petang Jumaat, dana itu telah mengumpul derma berjumlah RM223,908.
Derma itu bertujuan membantu Najib membayar wang ikat jamin berjumlah RM1 juta yang ditetapkan Mahkamah Tinggi pada hari Isnin.
Najib telah membayar ansuran pertama RM500,000 pada hari Rabu lalu selepas meminta untuk dibicarakan mahkamah terhadap tiga pertuduhan pecah amanah dan satu tuduhan penyalahgunaan kuasa.
Najib menghadapi tiga pertuduhan melakukan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahgunakan jawatannya berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Sementara itu, dalam usaha membantu najib, Ketua Wanita Umno Bahagian Jasin, Datuk Zaleha Bujang sanggup menggadaikan gelang tangan emas kesayangnya.
“Saya fikir tiba masanya ahli Umno berkorban. Kita tahu Datuk Seri Najib Razak teraniaya, jadi ini merupakan usaha kita untuk membantu beliau.
“Ini merupakan cara untuk mengenang jasa Najib. Dia nak jamin diri pun tak boleh sebab akaun bank dibekukan, jadi apa salahnya kita tolong.
“Gelang ini saya beli sekitar tujuh atau lapan tahun lepas. Walaupun sayang, saya ikhlas membuat sumbangan,” kata Zaleha.
Selain gelang, Zaleha turut menyumbangkan sejumlah wang tunai untuk tabung berkenaan. Namun, dia tidak mahu mendedahkan jumlah sumbangannya itu.
Najib juga telah meluahkan rasa terharu dengan kesanggupan Zaleha yang mendermakan seutas gelang tangannya kepada Tabung Solidariti Bebaskan Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Saya sangat tersentuh hati dengan kesanggupan Zaleha mengorbankan gelang kesayangannya untuk menyumbang kepada tabung bantuan ikat jamin saya,” katanya menerusi akaun Twitter, semalam.