no comments

Akaun Bank UMNO Dibekukan SPRM

Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membekukan akaun UMNO Pusat dan UMNO negeri Selangor hari ini.

Beliau berkata, selepas ini tidak mustahil SPRM juga akan membekukan akaun UMNO Johor.

Katanya, sebelum ini UMNO Pusat tidak mengeluarkan sebarang bajet namun semalam, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengeluarkan surat untuk memberikan peruntukan kepada UMNO Sabah.

Memetik laporan The Star, Ahmad Zahid berkata, beliau menerima panggilan telefon daripada SPRM memaklumkan mengenai pembekuan akaun itu.

“Semalam keluar surat, hari ini kena beku,” katanya ketika berucap dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri UMNO Johor, hari ini.

Zahid berkata, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hampir pasti akan mengarahkan Pertubuhan Pendaftaran (ROS) membatalkan pendaftaran UMNO dalam tempoh terdekat.

“Tidak ada jaminan mana-mana Presiden UMNO, Timbalannya, Naib-naib Presiden dan ahli-ahli Majlis Tertinggi (MT) sekiranya menang pada pemilihan kali ini, tidak akan disiasat kerana kita bukan lagi kerajaan. Ini termasuk bekas Menteri Besar,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, sekarang bukan masanya untuk mencari kesalahan mana-mana pihak, sebaliknya cuba mencari Presiden yang boleh merelevankan UMNO dengan orang ramai.

Katanya, Presiden UMNO mesti mampu menimbulkan semula “kapal yang tenggelam” dan bekerjasama dengan semua timbalan, naib, MT serta ahli di peringkat akar umbi.

“Kita sekarang ini memilih Presiden menghidupkan semula UMNO, ‘membaiki rumah yang terbakar’. Dari 88 kerusi (Parlimen), tinggal 54 dan semalam, tinggal 52.

“UMNO 1.0 ditubuhkan pada 1946 untuk menentang penjajah disebabkan Malayan Union, pada 1988 UMNO diharamkan dan muncul UMNO 2.0.

“Kini, UMNO digugat daripada 13 (komponen Barisan Nasional) kepada tiga, sama seperti Parti Perikatan. Berikutan itu UMNO perlu dirombak dan saya akan rombak UMNO 3.0 ini dari luar dan dalam,” katanya.

Terdahulu, Zahid berkara, umno akan menyalurkan semula dana ke semua badan perhubungan negeri termasuk peringkat bahagian dan sayap parti itu di seluruh negara.

Pengagihan dana berkenaan bagi membolehkan Umno di semua peringkat menjalankan pentadbiran dan pelbagai aktiviti serta program parti seperti biasa sebagaimana sebelum ini.

Reply