no comments

TMJ Sah Letak Jawatan Secara Rasminya Sebagai Presiden FAM!

Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sah secara rasminya melepaskan jawatan sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), sebentar tadi.

TMJ yang juga pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) turut menunjukkan surat peletakan jawatannya pada sidang media selepas Kongres Tahunan Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) di Johor Bahru.

Surat peletakan jawatan itu diserahkan kepada Setiausaha Agung FAM, Datuk Haji Hamidin Mohd Amin.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang percaya kepada saya, penaja dan pasukan yang bertanding. Ini adalah surat peletakan jawatan saya sebagai Presiden FAM,” kata TMJ.

Keputusan mengejut daripada TMJ itu dikatakan didorong atas prestasi buruk skuad Harimau Malaya yang menyaksikan ranking skuad kebangsaan menjunam ke tangga 178 dunia, kedudukan terburuk dalam sejarah bola sepak negara.

Walaubagaimanapun, Tunku Ismail kekal sebagai pengerusi Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) dan hanya akan fokus kepada pengurusan Liga Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam turut mengesahkan Tunku Ismail secara rasminya dilantik menjadi Pengerusi FMLLP.

“Menerusi kongres ini, Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) akan melalui proses penjenamaan semula dan dikenali dengan nama Malaysia Football League (MFL).

“MFL dan FAM kini merupakan dua institusi yang tidak berkait, di mana Tunku Ismail sebulat suara dilantik sebagai Pengerusi MFL,” kata kevin.

Tunku Ismail turut bersetuju FMLLP ditukar nama kepada Malaysia Football League (MFL) seperti diumumkan dalam Kongress Kedua FMLLP di Hotel Phoenix, Forest City, Johor.

“Ianya MFL. Sebagai pengerusi MFL, saya akan memberi tumpuan kepada menaiktarafkan kualiti Liga Malaysia,” jelas Tunku Ismail.

Pada kongres itu juga, FMLLP mengumumkan keputusan mengenai rayuan 10 pasukan dari Liga Super dan Liga Perdana yang dihukum kerana gagal melengkapkan pendaftaran selepas tarikh akhir pada 3 Februari lalu.

Empat pasukan Liga Super termasuk Kelantan, Kuala Lumpur, PKNS, dan Selangor didenda RM1.5 juta, manakala enam pasukan dari Liga Perdana iaitu Sarawak, Pulau Pinang, Kuantan FA, PDRM, MIFA dan UKM pula didenda FC RM500,000.

Reply