no comments

Ini Respon Awal PM Muhyiddin Ke Atas Pengumuman Anwar Yang Mendakwa Kerajaannya Sudah Jatuh

Dalam perutusannya sebentar tadi, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin tidak menyentuh langsung mengenai isu politik terutama membabitkan pembubaran parlimen seperti dijangka berikutan pengumuman Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Beliau malah mengumumkan inisiatif bantuan tambahan kepada empat kategori golongan bagi mengurangkan beban rakyat menghadapi kesan Covid-19.

Beberapa jam sebelum PM menyampaikan Perutusan Khas Kita Prihatin itu, Anwar Ibrahim mendakwa telah berjaya mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.

Namun, di penghujung ucapannya, Muhyiddin meminta rakyat Malaysia menolak tindakan membuta tuli segelintir ahli politik yang menjejas pelan pemulihan ekonomi yang sedang berjalan.

“Apa yang perlu ialah sebuah kerajaan yang stabil dan teguh dengan sokongan dan dokongan saudara dan saudari sekalian. Ini penting supaya lebih banyak inisiatif untuk memulihkan ekonomi dan membantu rakyat jelata dapat dilaksanakan dengan berkesan oleh kerajaan.

“Saya merayu saudara dan saudari sekalian supaya menolak tindakan membuta tuli segelintir ahli politik yang sengaja mahu menjejaskan kestabilan politik dan pelan pemulihan ekonomi negara yang sedang dilaksanakan dengan baik pada masa ini.

“InsyaAllah, kita boleh melakar masa depan yang lebih baik dari semalam. Saya yakin dan percaya kepada kekuatan semangat kita sebagai rakyat Malaysia. Marilah kita bersama-sama mendoakan kemakmuran negara kita dan kesejahteraan seluruh rakyat. Mudah-mudahan pakej Kita Prihatin ini akan dapat memberikan manfaat yang besar kepada saudara dan saudari sekalian,” katanya.

Dalam satu kenyataan media, terbaru, PM mengatakan dakwaan itu hendaklah dibuktikan menurut proses dan kaedah yang ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan. Tanpa melalui proses tersebut, kenyataan Anwar hanyalah dakwaan semata-mata.

“Kerajaan Perikatan Nasional masih berdiri teguh dan saya adalah Perdana Menteri yang sah,” katanya dipetik.

Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin menerusi Twitter berkata, tiada apa yang tumbang atau jatuh.

“Baru selesai mesyuarat Jemaah Menteri. Tidak ada apa-apa yang tumbang atau jatuh,” katanya.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan turut membuat ciapan ringkas: “Tiada apa yang perlu dibimbangkan. Saya berada dalam mesyuarat (Jemaah Menteri), sibuk merancang demi rakyat bersama Perdana Menteri,” katanya.

Anwar dalam sidang media khas hari ini berkata, beliau yakin mempunyai majoriti hampir dua pertiga Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.

Beliau berkata, sokongan yang dianggap kukuh dan meyakinkan itu akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) sebaik baginda keluar daripada Institut Jantung Negara (IJN).

“Sebenarnya saya mendapat perkenan mengadap baginda Selasa pada jam 11 pagi, namun terpaksa ditangguhkan selepas baginda menerima rawatan di IJN.

“Dengan sokongan dan majoriti kukuh serta meyakinkan ini, bermakna kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin jatuh,” katanya.

Susulan itu juga Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataannya menjelaskan ramai anggota parlimen Umno menyatakan sokongan kepada Anwar.

“Umno dan BN tidak dapat menghalang ahli-ahli parlimen yang mengambil keputusan untuk menyokong YB Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berhasrat untuk mengadap KDYMM Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan hasrat beliau sebagaimana dimaklumi.

“Saya dimaklumkan ramai ahli-ahli parlimen Umno dan BN yang telah menyatakan sokongan. Saya menghormati pendirian ahli-ahli parlimen berkenaan,” katanya hari ini.

Manakala parti komponen, PAS dan GPS dalam kenyataannya mengatakan kesemua ahli parlimennya terus setia menyokong kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Reply