no comments

Rupanya Inilah Punca Sebenar Kenapa Pahang Tak Nak Main AFC!

Hanya skuad Pahang sahaja boleh mengisi kekosongan slot ke kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) selalu Naib Juara Liga Super dan Piala FA 2017 selepas ditinggalkan pasukan Kedah.

Namun, skuad ‘Tok Gajah itu membuat keputusan untuk menolak tawaran beraksi pada kejohanan Asia itu tahun depan. Punca sebenar penolakkan itu dibuat selepas meneliti beberapa aspek seperti teknikal dan kewangan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri Datuk Mohd Johari Hussain berkata ketetapan itu juga dibuat selepas perkara tersebut dirujuk kepada pihak yang berkepentingan dalam bola sepak Pahang.

“Kami melihat perkara ini sebagai tawaran yang baik, tetapi atas alasan seperti teknikal dan kewangan, kami terpaksa merujuk kepada pihak tertentu sebelum memberi keputusan itu,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Mohd Johari berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Andasura Rabu (PAS-Beserah) yang ingin tahu alasan di sebalik penolakan tawaran itu kerana menyifatkan perkara tersebut bercanggah dengan inisiatif kerajaan negeri.

Andasura berkata perkara itu bertentangan dengan ketetapan kerajaan negeri yang sebelum itu, menurut Mohd Johari sentiasa memberi peluang kepada atlet untuk berlatih di luar negara bagi meningkatkan prestasi mereka.

Dua hari lalu, Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) dalam kenyataan mengesahkan menolak tawaran menggantikan Kedah pada saingan Piala AFC, selepas Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) gagal melepasi syarat perlesenan dalam tempoh ditetapkan AFC.

Skuad Tok Gajah bagaimanapun menyatakan mahu memberi tumpuan penuh pada saingan Liga Malaysia musim 2018 sebagai alasan penolakan tawaran itu.

Selepas Pahang, pasukan Selangor disebut-sebut sebagai pengganti kedua yang lebih layak untuk menggantikan pasukan asal yang layak secara merit iaitu Kedah.

Namun begitu, Selangor juga dilihat mengikut keputusan Pahang untuk tidak bertanding di Piala AFC 2018 atas alasan ‘belum bersedia’.

Jika tiada pasukan yang bersedia untuk mengiringi Johor Darul Ta’zim (JDT) ke kejohanan peringkat Asia itu, ia pasti memberi tamparan hebat buat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

BERNAMA

Reply