no comments

Denda Tak Masuk Akal.. “Ramai-Ramai Keluar Tinggalkan Liga.. Bantah Keputusan FAM” – Jamal

Dek kerana denda RM500,000 dan RM1.5 juta oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang tak masuk akal, bekas pemain negara, Datuk Jamal Nasir mencadangkan 10 pasukan yang terbabit supaya meninggalkan Liga M.

Menurutnya, tindakan drastik itu perlu diambil sekiranya FAM terus berkeras menggenakan denda berkenaan kepada pasukan terbabit yang gagal melengkapkan dokumen pendaftaran musim ini.

“FAM tidak seharusnya terlalu bertegas dan menunjukkan kuasa dengan mengenakan hukuman berat kepada ahli gabungan yang terbukti melakukan kesalahan.

“Pada saya, hukuman denda itu bukan tindakan bijak kerana lebih banyak mendatangkan kemudratan daripada kebaikan kerana bakal mengundang berlakunya kemelut kewangan.

“Jadi, saya mencadangkan pasukan terbabit menarik diri daripada bersaing dalam Liga Perdana dan Liga Super musim ini sebagai tanda bantahan terhadap keputusan FAM itu.

“Sekiranya perbincangan tidak dapat menyelesaikan masalah, tindakan menarik diri itu mungkin jalan penyelesaian yang tepat,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, FAM seharusnya memberi peluang kepada 10 pasukan yang dianggap cuai itu membuat rayuan dengan hukuman denda berat hanya boleh dikenakan jika masih mengulangi kesilapan sama.

“Saya rasa sekiranya denda tinggi dikenakan ia akan hanya mengundang masalah kewangan yang mendorong kepada isu hutang serta tunggakan gaji pemain,” katanya.

Enam pasukan yang terbabit dalam isu denda RM500,000 itu membabitkan MIFA, Kuantan FA, Sarawak, Pulau Pinang, UKM FC dan PDRM FC yang bersaing dalam Liga Perdana. Empat pasukan Liga Super yang didenda RM1.5 juta pula adalah Kelantan, Kuala Lumpur,Selangor dan PKNS FC.

Selain itu, pasukan terbabit turut dikenakan hukuman pemotongan tiga hingga enam mata namun ditangguhkan sehingga 31 Disember ini bagi memberi peluang kedua.

Sementara itu, seorang lagi bekas pemain kebangsaan, Bakri Ibni, mengganggap tindakan FAM dan Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) tidak profesional dan keterlaluan.

 

Beliau berkata, walaupun FMLLP diberi kuasa menentukan bentuk hukuman mengikut Perkara 43 (Pematuhan Peraturan) seperti terkandung dalam Liga M, tindakan badan pentadbir liga itu dilihat tidak rasional.

“Saya bersetuju FMLLP mengenakan denda ke atas persatuan atau kelab yang gagal melaksanakan tanggungjawab mereka berbanding tindakan memotong mata pasukan seperti dilaksanakan musim lalu.

“Ia sebagai pengajaran kepada mereka, sesuai dengan bola sepak kita yang sudah berstatus profesional. Tapi, berpada-padalah menjatuhkan hukuman, ikut kesesuaian liga kita, bukan mengikut cita rasa sendiri.

“Hukuman itu biarlah ‘masuk akal’. RM1.5 juta dan RM500,000 itu bukan kecil, ia boleh melumpuhkan pasukan. Sepatutnya denda RM100,000 atau RM50,000 sudah memadai.

BHarian,HMetro

Reply