no comments

Najib Akan Kejar-Mengejar Sejauh 4 Kilometer Demi Merebut EMAS!

BUKAN perdana menteri, Najib Razak, tapi atlet para negara, Mohd Najib Turano mengintai pingat emas acara lumba basikal kejar-mengejar 4 kilometer C4 (kecacatan kaki) di Sukan Asia 2018 Jakarta.

Najib yang gembira dan bersyukur apabila mendapat tahu namanya masih kekal dalam Program Podium berkata dia juga kini sedang giat membuat persiapan rapi bagi menyertai acara pecut berpasukan di Sukan Asia itu nanti.

Pelumba berasal dari Banting dan berusia 30 tahun itu juga akan menyertai dua acara lain – ujian masa lebuh raya dan dan 1km individu lelaki – di temasya terbesar benua ini.

“Sebenarnya masih banyak yang perlu diperbaiki jika mahu menang emas acara individu di Sukan Asia kerana saingan sengit pasti akan datang dari China yang pernah menjadi kuasa besar sukan berbasikal para Asia dan dunia.

“Justeru, sasaran utama saya sekarang adalah untuk menang emas atau perak acara kejar mengejar 4km selepas meraih gangsa di Sukan Asia Incheon, Korea Selatan 2014,” katanya hari ini.

Bagaimanapun, Najib berkata keputusan muktamad mengenai bilangan sebenar acara bakal disertainya hanya akan diputuskan berdasarkan prestasinya tahun depan.

Nama Najib mula meniti di bibir peminat lumba basikal negara selepas berjaya meraih empat emas, masing-masing dua dalam acara berbasikal lebuh raya dan trek Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, gus membolehkannya membawa pulang RM50,000 daripada Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) Majlis Sukan Negara, baru-baru ini.

Sebelum ini, Pengarah Program Podium, Tim Newenhem mengumumkan 146 atlet normal dan para daripada 22 sukan termasuk 26 muka baru tersenarai di bawah program elit itu mulai Januari 2018 sebagai persiapan awal menghadapi Sukan Asia dan Sukan Komanwel tahun depan.

Selain Najib, tiga atlet basikal lain turut tersenarai dalam Program Podium ialah Aiman Asyaf Ahmad Bajuri (tandem) dan Mohd Khairul Azwan (tandem/visual) dan Afiq Afiffy Rizan (pecut lelaki/1km dan 4km).

Seramai 13 atlet dari sukan terjun, gimnastik berirama, karate, silat, bowling, angkat berat, memanah para, olahraga para, powerlifting dan renang para digugurkan daripada Program Podium kerana gagal menyerlah dan tidak mencapai kriteria ditetapkan ISN.

HMetro Online

Reply