no comments

Jawapan Najib Ketika Ditanya Pasal Kapal Equanimity

Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak memberitahu kepada wartawan bahawa beliau tidak tahu-menahu mengenai dakwaan kapal mewah Equanimity dibeli menggunakan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh Jho Low.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, siasatan mesti dibuat bagi mengetahui siapa sebenarnya pemilik kapal bernilai RM1 bilion terbabit.

“Saya tidak tahu mengenai perkara itu, saya tidak pernah menaiki kapal terbabit. Saya hanya mengetahui mengenai perkara ini selepas dilaporkan media.”

“Pada waktu itu, kerajaan terdahulu lebih berminat untuk menyelesaikan isu International Petroleum Investment Co (IPIC) dengan pihak Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Isu IPIC lebih penting berbanding Equanimity tetapi isu kapal sering dibangkitkan dan dilihat sebagai langkah populis,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Najib juga berkata, penyelesaian isu IPIC memberi kebaikan yang lebih besar berbanding bidaan terhadap kapal Equanimity.

“Saya tiada kaitan dengan kapal terbabit, malah ia tertakluk kepada litigasi.

“Aset terbabit sudah susut nilainya, tidak semua orang di dunia ini mampu membeli kapal semewah itu,” katanya.

Equanimity yang dikaitkan dengan ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low, sudah memasuki perairan Malaysia hari ini dari Indonesia dan tiba di Pelabuhan Klang kira-kira jam 12 tengah hari tadi.

Sementara itu, Peguam Negara, Tommy Thomas berkata, penyitaan kapal layar mewah ‘Equanimity’ itu mengikut undang-undang Malaysia

Beliau berkata, Jabatan Peguam Negara telah memohon bidang kuasa Admiralti Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur terhadap kapal layar tersebut dan pada Isnin mahkamah mengeluarkan Waran Penahanan terhadapnya.

“Oleh itu, “Equanimity” kini telah disita secara teratur di bawah undang-undang Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan sejurus selepas kapal layar bernilai bilion ringgit itu berlabuh di Pusat Pelayaran Boustead, Pulau Indah hari ini.

Thomas menambah, lanjutan daripada Triti-Triti Bantuan Perundangan Bersama (MLA) antara Indonesia, Amerika Syarikat dan Malaysia yang diaktifkan baru-baru ini, rundingan sensitif dan rumit telah diadakan di peringkat tertinggi pelbagai agensi di ketiga-tiga negara untuk mencapai kejayaan tersebut.

“Kapal layar tersebut telah disita oleh pihak berkuasa Indonesia di Bali pada 28 Februari 2018 atas permohonan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ).

“Penyitaan tersebut dibuat atas inisiatif DOJ yang menuntut hak milik ke atas kapal layar tersebut bagi pihak Malaysia dan 1MDB kerana wang milik kita telah digunakan untuk membelinya.”

AG juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Indonesia dan Amerika Syarikat, terutamanya Polis Republik Indonesia (Polri) dalam menghulurkan kerjasama dengan Malaysia untuk membolehkan Equanimity kembali ke negara ini.

“Antara agensi tempatan yang terlibat dalam operasi tersebut adalah Polis Diraja Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara.” katanya lagi.

Reply

facebook KLIK PANGKAH 2 KALI UNTUK TUTUP Button Close