no comments

Najib Didakwa Dapat Pengecualian Caj Bagasi Bernilai RM17,000 Daripada MAS

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan keluarganya didakwa mendapat pengecualian caj bagasi bernilai lebih RM17,000 untuk lebihan berat daripada syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) ketika pergi dan pulang dari bercuti di Langkawi beberapa hari lepas.

Imej daripada tangkap layar butiran dalam sistem tiket MAS menunjukkan bagasi berlebihan berat yang diberi pelepasan ialah sebanyak 535kg.

Bagasi tersebut sepatutnya dikenakan bayaran RM17,071.85.  Daripada head of pool di bawah nama “MOHDNAJIB Hjabrazak Dato” bagi penerbangan MH1450 pada 16 Jun.

Imej yang tular itu juga menunjukkan Najib sebagai ketua rombongan yang turut disertai enam individu lain.

Anggota rombongan percutian berkenaan – selain Najib – ialah Rosmah Mansor, anak mereka Norashman dan Nooryana Najwa serta menantu Daniyar Kessikbayev.

Tidak ketinggalan anak pasangan Nooryana dan Daniyar, Adam Razak, 10 bulan, serta anak Rosmah daripada perkahwinan terdahulunya, Riza Aziz.

Kesemua mereka menaiki pesawat MAS penerbangan MH1437 untuk pulang.

Najib dan keluarga berada di pulau peranginan berkenaan untuk bercuti selama lima hari dan kembali ke Kuala Lumpur pada 20 Jun menaiki penerbangan komersial itu.

Usaha untuk mendapatkan maklum balas dari pihak MAS sudah dibuat, dan menunggu MAS mengeluarkan kenyataan berhubung pelepasan caj itu dalam masa terdekat.

Reply